PENAMPANG: Polis menahan 11 lelaki dan lapan daripadanya adalah penjawat awam kerana disyaki terlibat aktiviti perjudian internet secara haram dalam serbuan di sebuah hotel di Putatan, Selasa. Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Supritendan Azmir Abdul Razak berkata, kesemua individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah bilik di hotel berkenaan pukul 10 malam itu berumur antara 25 dan 42 tahun. Turut ditahan seorang wanita tempatan berumur 31 tahun yang dipercayai bekerja untuk sindiket itu dan kesemuanya direman sejak semalam sehingga 20 Februari ini. "Peralatan seperti komputer riba, komputer peribadi, penghala, modem internet dan wang tunai berjumlah RM1,910 turut dirampas dalam serbuan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang di sini, Rabu. Menurut Azmir, modus operandi sindiket itu ialah bertukar dari bilik ke bilik di hotel yang sama dan menggunakan peralatan mudah alih bagi menyukarkan pihak berkuasa mengesan kegiatan mereka. Beliau turut menasihatkan pihak pengurusan hotel di negeri ini supaya sentiasa prihatin dengan kegiatan seperti itu dan memastikan tidak ada sebarang kegiatan haram dilakukan di premis mereka.