suria

PRK DUN Chempaka: 10 Mac Hari Penamaan, Pengundian Pada 22 Mac

SPR menetapkan 10 Mac hari penamaan calon bagi kerusi DUN Chempaka sementara 22 Mac sebagai hari pengundian.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat pada Rabu menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Chempaka, Kelantan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, bagi tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 10 Mac manakala pengundian awal akan diadakan pada 18 Mac.

Tempoh berkempen bagi calon yang bertanding ditetapkan selama 12 hari.

"Sebanyak 10 pusat mengundi akan dibuka dengan sembilan buah sekolah akan dijadikan pusat membuang undi yang keseluruhannya akan mengandungi 42 saluran tempat mengundi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai PRK DUN Chempaka di sini, Rabu.

Abdul Aziz berkata, Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kota Baru, Kelantan akan dijadikan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

"Bagi Pusat Pengundian Awal, SPR akan menggunakan Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem Pengkalan Chepa, Kota Baru, Kelantan," katanya.

Seramai 21,890 pengundi berdaftar di Chempaka yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa, 1,497 pemilih awal dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

"Daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 bagi pilihan raya itu yang digabungkan sehingga Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga 2014 dan dikemaskini sehingga 12 Februari 2015," katanya.

Beliau berkata, seramai 403 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses PRK ini yang menelan belanja sebanyak RM810,000.

Kerusi Dun Cempaka kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada malam Khamis lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu, Nik Aziz yang merupakan Mursyidul AM PAS menang di kerusi DUN Chempaka dengan majoriti 6,500 undi.

Bekas menteri besar Kelantan itu mendapat 12,310 undi, manakala calon Barisan Nasional Wan Razman Wan Abd Razak memperolehi 5,810 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PLUS: Aliran Trafik Mula Sesak

Artikel Lain