suria

Status PRK Permatang Pauh Diketahui Minggu Depan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas tempoh 14 hari yang diberikan kepada penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat semakan kehakiman terhadap kes liwat II beliau berakhir.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata buat masa ini SPR fokus kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

"PRK Permatang Pauh perlu tunggu 14 hari sehingga 24 Februari ini kerana Anwar boleh membuat semakan kehakiman terhadap kesnya. Buat masa ini kita dahulukan PRK Chempaka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai PRK Chempaka di Menara SPR di sini, Rabu.

Beliau berkata sekiranya Anwar tidak membuat sebarang rayuan, maka SPR akan mengadakan mesyuarat khas selepas tempoh ditetapkan berakhir.

"Kita akan maklumkan kemudian tapi jika ada rayuan kita tak pasti bila (PRK Permatang Pauh). Ia bergantung kepada keputusan mahkamah. Kita tak tahu lagi," katanya.

Berbaki enam hari sahaja lagi status Anwar sebagai Ahli Parlimen bakal terjawab selepas tempoh rayuan semakan kehakiman berakhir pada 24 Februari ini.

Ia adalah jalan terakhir untuk menyelamatkan karier politiknya.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Menurut laporan, Ketua Umum PKR itu memiliki dua pilihan, iaitu sama ada memfailkan semakan kehakiman di mahkamah tertinggi itu untuk menilai semula sabitan atau memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Permatang Pauh

Artikel Lain