suria

Johor Cadang Mansuh Caj VOA Bagi Pelancong China

PONTIAN: Kerajaan negeri Johor mencadangkan pemansuhan caj permohonan Visa Sewaktu Ketibaan (VOA) bagi pelancong dari China di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

Exco Pelancongan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata cadangan pemansuhan caj permohonan sebanyak US$100 (RM360) itu adalah selari dengan keputusan kerajaan pusat mengecualikan bayaran permohonan visa untuk pelancong China.

"Pemansuhan caj ini dapat menggalakkan lebih banyak pelancong terutama dari negara itu untuk menjadikan negeri Johor sebagai destinasi pelancongan," katanya kepada pemberita pasa majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, di Dewan Jubli Intan, di sini, Khamis.

Tee berkata sejak VOA diperkenalkan pada 1 Nov tahun lepas, sebanyak 65 peratus daripada 500 pelancong yang menggunakan kemudahan itu di Laluan Kedua Malaysia-Singapura adalah rakyat China.

Bulan lepas, kerajaan pusat memutuskan pengecualian bayaran bagi permohonan visa sebanyak RMB80 (RM47) untuk rakyat China yang mahu melancong ke negara ini.

Sementara itu, Tee berkata industri pelancongan di negeri Johor akan dirancakkan lagi sempena Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFEST 2015).

"Kita sudah mengenal pasti beberapa acara dari Johor yang sudah dimasukkan ke dalam kalendar kerajaan pusat dan kita juga mempunyai Istiadat Pemahkotaan Sultan Johor yang dijangka boleh menarik pelancong ke negeri ini," kata beliau.

Istiadat pemahkotaan itu yang bakal memperlihatkan sekurang-kurangnya sembilan acara istiadat itu akan bermula 16 Mac, dengan acara kemuncak pada 23 Mac ini dan sambutan perayaan istiadat selama tiga bulan.

Selain itu, Tee turut berkata beberapa kawasan di kawasan Pontian turut berpotensi untuk dijadikan kawasan tarikan pelancongan seperti Taman Negara Tanjung Piai dan Pulau Kukup.

Terdahulu, majlis sambutan perayaan Tahun Baru Cina dihadiri kira-kira 5,000 tetamu termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan beberapa exco kerajaan negeri.

Artikel Sebelum

Remaja Hilang Ditemui Mati Lemas

Artikel Berikut

Artikel Lain