CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil keputusan untuk melaksanakan Polisi Tiada Hadiah yang mula berkuat kuasa 18 Februari. Tindakan MCMC untuk melaksanakan polisi ini merupakan satu inisiatif untuk menyemai sikap menjauhi sebarang amalan yang berbaur rasuah. Tindakan MCMC ini merupakan salah satu tanggungjawab kami dalam menepati prinsip Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang telah ditandatangani oleh MCMC pada 19 November 2012, kata Pengerusi MCMC, Dato Sri Dr Halim Shafie. MCMC juga mahu membudayakan sikap integriti dalam kalangan kakitangannya selain mempromosikan nilai-nilai ketelusan, etika dan tadbir urus yang baik. Sebarang konflik kepentingan dalam mana-mana urusan atau potensi rasmi MCMC juga dapat dielakkan dengan pelaksanaan Polisi Tiada Hadiah. MCMC berharap mana-mana pihak yang berurusan dengannya, menghormati pendiriannya dan tidak menghantar sebarang bentuk hadiah atau faedah seperti wang tunai atau baucar, hadiah am, hiburan atau perbelanjaan perjalanan dan lain-lain bentuk hadiah.