ASSALAMUALAIKUM. Setiap kali memandang petugas lelaki dan wanita di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, hati saya sering berkata-kata “bertuah sungguh mereka sebab dapat bekerja di dalam masjid ini. Besar ganjaran diperoleh. Pasti seronok kerana sentiasa dapat melihat Kaabah dan berpeluang berdoa di tempat paling mustajab." Justeru, saya bercadang menemuramah petugas wanita di dalam Masjidil Haram ketika membuat liputan media untuk sebuah majalah berkonsep gaya hidup Muslimah pada 2012 bersama-sama jurugambar bernama Jahariya. Sebelum berangkat ke Tanah Suci, saya mula merangka dan mengatur tugasan yang bakal saya laksanakan sepanjang 13 hari 11 malam di Tanah Suci. Untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar, temu janji mula diatur dengan individu yang mahu saya temui dua minggu sebelum berangkat ke kota suci. Pemergian saya dan jurugambar mengerjakan umrah turut disertai 16 lagi jemaah lain pada 17 Februari 2012. Sepatutnya kami dijadualkan berangkat pada 19 Februari tetapi tiga hari sebelum berangkat, pemilik syarikat agensi pelancongan terbabit yang turut menaja krew media ke Tanah Suci memaklumkan bahawa pemergian kami cepat dua hari. Saya juga dimaklumkan oleh Haji Aminuddin Abdul Rahman bahawa pesawat Emirates yang bakal dinaiki akan tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah dan jemaah akan memasuki kota Makkah dan bukan Madinah sebagaimana di dalam aturcara program. Saya reda dan gembira dengan pertukaran itu walaupun kesibukan kian memuncak kerana perlu membereskan banyak perkara sebelum berangkat. Saya maklumkan kepada Jahariya mengenai perubahan berkenaan. Kali pertama saya berniat ihram di dalam pesawat apabila melintasi Qarnul Manazil kerana sebelum itu perjalanan umrah saya bermula dengan ziarah di Madinah dan tempat miqat ketika itu ialah di Bir ‘Ali. Selepas tiba di Jeddah dan memperoleh bagasi, semua jemaah dinasihatkan menaiki bas yang sedia menunggu untuk dibawa melihat keindahan kota Jeddah. Gambar kenangan selepas solat Jumaat di Majid Ar-Rahmah di Jeddah. Kami dimaklumkan oleh mutawif bahawa perjalanan ke Makkah akan hanya bermula selepas solat Jumaat. Justeru, semua jemaah berpeluang menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahmah atau lebih dikenali sebagai masjid terapung. Selesai solat Jumaat, kami berangkat ke Makkah dan tiba di kota suci itu sesudah solat fardu Asar. Setelah semua urusan daftar masuk ke hotel selesai, semua jemaah berkumpul di lobi untuk bersama-sama menyempurnakan umrah. Tidak begitu letih kerana cuaca ketika itu agak dingin. Setelah berehat sehari, tugasan saya pun bermula. Tugasan pertama ialah menemuramah jurutera reka bentuk dan seni bina dari Malaysia, Hairul Nizam Baharuddin yang bertanggungjawab mengendalikan projek Menara Abraj Al-Bait yang menempatkan pusat beli-belah dan kira-kira 1,000 bilik hotel bertaraf tujuh bintang di 76 tingkat menara berkenaan. Saya turut menemuramah warga Amerika Syarikat yang mengendalikan perniagaan perhotelan di Makkah, selain mengumpul pelbagai kisah human interest seperti perkembangan fesyen di Makkah dengan menemuramah Pengasas Hajaba, Mona Din. Penulis (tengah) bersama pengasas Hajaba, Mona Din di Makkah. Semua tugasan itu saya anggap mudah kerana menelefon individu berkenaan untuk mengatur pertemuan dan berjumpa di tempat dijanjikan. Namun, bukan mudah menemuramah petugas wanita di Masjidil Haram kerana perlakuan dan gerak-geri mereka dipantau oleh ketua berbangsa Arab Saudi apatah lagi Masjidil Haram turut menempatkan Sistem Litar Tertutup (CCTV). Jahariya juga berusaha memikirkan cara terbaik dan selamat untuk merakamkan foto mereka. Justeru, beliau menggunakan kamera kecil agar tidak menarik perhatian pengawal keselamatan di setiap pintu masuk ke Masjidil Haram. Ketika itu, penggunaan telefon bimbit berkamera dilarang dibawa ke dalam masjid. Antara tugas yang dipikul oleh petugas wanita Masjidil Haram ialah mengelap tempat mengambil air zamzam dan berwuduk, membersihkan lantai serta permaidani, mengutip sampah di ruang solat wanita di dalam masjid dan mengelap rak al-Quran dan menyusun kitab suci itu. Cubaan awal bertemu mereka menemui jalan buntu. Selepas menunaikan solat Zuhur berjemaah dan masjid hampir lengang, saya mendekati seorang petugas warga Indonesia pada kira-kira jam 2 petang. Beliau begitu keberatan untuk membuka mulut tetapi saya tidak putus asa dan terus menyatakan hasrat hati berjumpanya mengikut waktu yang sesuai. Akhirnya, dia menasihatkan saya agar datang lagi pada jam 10 malam untuk berbincang lebih lanjut dan lokasi pertemuan ialah di ruang solat wanita berhadapan pintu masuk Hunain. Sebagai usaha mengelakkan kegagalan, kami tiba satu jam lebih awal dan memerhatikan petugas wanita di ruang solat pintu Hunain. Sepi di kawasan berkenaan dan hanya ada beberapa jemaah berbaring dan membaca al-Quran, manakala terlihat seorang petugas wanita mengelap rak al-Quran. Siti menjalankan tugas mengelap al-Quran di ruang solat wanita Masjidil Haram. Hampir jam 10 malam, saya menghampiri seorang petugas di tempat mengambil air zamzam atau dikenali juga sebagai masrebiah dan memberi salam. Setelah salam dijawab, saya memperkenalkan diri dan menyatakan hasrat untuk menemuramah dan merakamkan foto petugas wanita. “Jika tidak keberatan, saya mahu bertanya pengalaman awak bekerja di masjid ini dan jurugambar mahu merakamkan gambar petugas di sini,” ujar saya memulakan bicara. “Ya boleh saya tidak keberatan. Namun, biarlah masa itu sesuai. Sekarang semua petugas mahu pulang. Insha Allah esok kami bertugas lagi jam 2 petang. Jika mahu datang, bolehlah datang pada masa itu. Saya maklumkan nanti pada yang lain,” kata Siti yang berasal dari Bogor, Indonesia. Saya bersyukur dan tidak sabar untuk menemui mereka pada esoknya. Saya dan Jahariya berjalan pulang ke hotel dengan senang hati. Alhamdulillah Siti tidak mungkir janji. Selepas solat Zuhur, saya dan Jahariya tidak pulang ke hotel tetapi menunggu sehingga jam 2 petang untuk menemuramah petugas wanita di dalam Masjidil Haram. Mulanya saya menemubual Siti yang sudah bekerja di Masjidil Haram selama lima tahun. Beliau terpaksa berjauhan dengan enam cahaya mata dan lima cucu kerana mencari rezeki di Tanah Suci. Dia membersihkan masrebiah Hunain, King Abdul Aziz dan Ajyad. Lazimnya, Siti bertugas dari jam 2 petang hingga 10 malam pada setiap hari. “Dalam tempoh lima tahun, hanya sekali saya pulang ke Indonesia untuk bertemu keluarga. Suami sudah meninggal hampir 20 tahun. Tuntutan tugas di sini begitu berat, terutama pada Ramadan dan musim haji,” katanya yang fasih berbahasa Arab setelah enam bulan bekerja di Tanah Suci. Saya turut mendekati dua gadis tinggi lampai berasal dari Pakistan dikenali sebagai Asma’ dan Ameera. Kedua-duanya berusia 18 tahun dan bekerja hampir setahun ketika itu. Sukar menemuramah mereka kerana bimbang diperangkap CCTV dan dimarahi ketua. Dua rakan senegara dari Pakistan menjaga tingkah laku kerana ada CCTV memerhati pergerakan mereka. Saya meminta mereka membuka cadur atau niqab tetapi kedua-duanya enggan sambil menunjukkan ke arah CCTV yang tidak jauh dari tempat kami duduk. Walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga dalam usia muda, mereka bersyukur dapat berkhidmat kepada tetamu Allah. Kedua-duanya sering membersihkan permaidani dengan pembersih vakum dan mengelap rak al-Quran. Petugas dari Sri Lanka yang peramah, Nabisa Hamid, 33, gembira bekerja di dalam Masjidil Haram sejak empat tahun lalu kerana berpeluang mendapat wang dan beribadat. Walaupun gaji kecil tetapi beliau sentiasa tenang dan ceria. Pendapatan bulanan petugas wanita di Masjidil Haram ialah SR700 dan jumlah itu meningkat kepada SR1,500 atau SR1,800 pada Ramadan serta musim haji kerana setiap petugas perlu bekerja 12 jam setiap hari berikutan peningkatan jemaah pada waktu berkenaan. Mereka bertugas mengikut tiga syif iaitu dari jam 6 pagi hingga 2 petang, di antara 2 petang dan 10 malam serta dari 10 malam hingga 6 pagi. Petugas wanita di Masjidil Haram ditempatkan di sebuah hostel berhampiran Arafah dan menaiki bas awam untuk ke Masjidil Haram. Kebiasaannya mereka keluar secara berkumpulan dan tidak bimbang mengenai keselamatan. Selesai tugasan, petugas wanita berkumpul di depan ketua petugas yang akan mencatatkan kepulangan mereka. Bertuah sungguh mereka. Biarpun pendapatan bulanan tidak seberapa, ganjaran lumayan menanti di kemudian hari kerana berkhidmat untuk tetamu Ilahi yang berkunjung ke Tanah Suci.