MELAKA: Budaya kunjung-mengunjungi rumah jiran dan rakan sekampung berbilang kaum ketika musim perayaan perlu dipupuk kembali di kalangan kanak-kanak, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron. Beliau berkata pada masa sekarang budaya yang merupakan suatu tradisi masyarakat Malaysia itu semakin terhakis dan ia perlu dikembalikan bagi memperkukuh perpaduan masyarakat terutama yang berbilang kaum di negara ini. "Ketika saya kanak-kanak pada tahun 70an bila tiba Tahun Baharu Cina ini saya bersama sahabat saya pakat ramai-ramai pergi ke rumah anggota masyarakat Cina di kampung selalunya kami pergi rumah Ah San dapat angau 20 sen, rumah Yong Hock dan Ah Meng selalu dapat minum oren juga makan buah limau puas-puas. "Budaya ini sebenarnya menambah kemesraan kami kanak-kanak dengan anggota masyarakat berbangsa lain di kampung malah mengajar kami tiada garis pemisah antara kaum di kampung kami, tetapi sekarang tidak ramai kanak-kanak didedahkan dengan perkara begitu," katanya. Idris berkata pengalaman itu telah membentuk kemesraan dan perasaan tidak kekok ketika bersama masyarakat berbilang kaum di negara ini dalam dirinya terutamanya dalam usaha memahami isi hati mereka. "Bila (bercampur) dengan masyarakat Cina dan India sebenarnya saya tidak pernah kekok kerana sejak kecil saya membesar dekat dengan mereka, malah saya melihat mereka seperti pakcik dan makcik saya. Ini yang perlu kita kembalikan di kalangan anak-anak kita," katanya.