PETALING JAYA: KRU Music menafikan terlibat dengan sebuah klip video yang menggunakan lagu ciptaan mereka berjudul Sandiwara bertujuan menghina seorang pemimpin pembangkang. Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, KRU Music menjelaskan bahawa lagu yang dikeluarkan pada penghujung tahun 2000 tersebut berinspirasikan isu Al Maunah yang menjejaskan keamanan negara pada ketika itu. "Liriknya ditulis menceritakan seorang individu yang terkeliru dengan fahaman sesat sehingga terjebak di dalam kegiatan ekstrimisme sekaligus memudaratkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. "Pihak KRU Music selaku pemilik hakcipta lagu ini dan mewakili artis kami menafikan sekeras-kerasnya lagu ini ditujukan kepada mana-mana tokoh atau parti politik," katanya. Klip video yang menggunakan lagu 'Sandiwara' ciptaan KRU. Lagu Sandiwara yang dihasilkan 15 tahun lalu itu dinyanyikan artis di bawah naungan KRU, Typo. Beberapa hari lalu tersebar sebuah klip video berdurasi selama tiga minit 16 saat yang memaparkan imej Allahyarhan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berlatarbelakangkan lagu Sandiwara. Video berkenaan yang menjadi viral di laman sosial menerima kritikan hebat daripada netizen terutama terhadap kumpulan trio adik-beraik KRU itu kerana didakwa terlibat dalam agenda untuk menghina bekas Menteri Besar Kelantan itu. Lebih menimbulkan konroversi apabila klip video itu dimuat naik beberapa hari selepas Nik Abdul Aziz meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu. Selain itu menerusi kenyataan yang sama, KRU Music berkata pihaknya sedang mengumpul bukti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan karya hakcipta mereka bagi tujuan yang salah. "Tindakan individu yang membuat interpretasinya sendiri dari lirik lagu ini adalah jauh tersasar dan diluar konteks. Dengan mengaitkan lagu ini dengan imej-imej provokatif bukan saja melanggar hakcipta milik kami tetapi yang lebih dikesali mengganggu ketenteraman awam dan menjejas nama baik semua pihak termasuk tokoh yang amat kami hormati yang dipaparkan didalam klip video tersebut. "Pihak kami sedang mengumpul bukti dan akan membuat laporan polis terhadap individu yang tidak bertanggung-jawab yang menghasilkan video tersebut. "Dengan ini pihak kami juga ingin memberi peringatan dan amaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tidak membuat interpretasi sendiri menggunakan mana-mana lagu kami dan mengaitkannya dengan visual yang menghina mana-mana individu atau organisasi yang boleh mencetus kemarahan mana-mana pihak dan melanggar hakcipta kami," katanya.