suria

Fiesta Belon Udara Panas Di Pulau Pinang Jadi Tumpuan

GEORGE TOWN:  Sepuluh ribu pengunjung membanjiri Padang Polo, di sini untuk menyaksikan Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang yang bermula pada Sabtu.

Program dua hari berakhir pada Ahad ini turut menarik pelancong dari luar negara bagi menyaksikan himpunan 15 belon udara panas yang tampak lebih menarik pada waktu malam.

Ia turut menampilkan belon dengan reka bentuk istimewa seperti 'Trump', 'Darth Vader' dan 'Humpty Dumpty' di samping penyertaan penggiat belon panas antarabangsa dari United Kingdom, Belgium, Korea Selatan, Filipina dan Amerika Syarikat.

Seorang pelancong dari Poland, Wiktor Lazarsul, 27, berkata pesta belon udara panas tidak kira di mana ia dianjurkan mempunyai keunikan tersendiri dengan suasana dan latar belakang pemandangan berbeza.

"Ia sungguh hebat ... saya telah menyaksikan acara seperti ini di Istanbul dan Melbourne, perasaan dan keseronokannya berbeza di satu-satu tempat,"katanya.

Bagi Yui Kazue, 33, dari Jepun berkata beliau dan tiga rakannya sanggup datang semula pada sebelah malam apabila mendapati tiada belon diapungkan pada waktu tengah hari.

Dia yang pertama kali berkunjung ke negara ini berasa kehadirannya berbaloi walaupun tidak dapat merasai pengalaman menaiki belon udara panas kerana pembelian tiket perlu dilakukan lebih awal.

"Saya tidak kecewa, barisan orang beratur adalah panjang tetapi masih berbaloi bagi saya bersantai bersama rakan dan mencuba tarikan lain di sini," katanya yang turut mencuba bermain congkak dan mewarna batik.

Bagi Hwa Sze Suen, 40,  cuti Tahun Baharu Cina tahun ini agak berlainan apabila beliau dan isteri serta anak lelakinya dapat bersama-sama menyertai larian ria sempena acara itu sebelum berkesempatan menaiki belon udara panas yang sebelum ini hanya dapat dilihat daripada kaca televisyen.

"Sebagai anak jati Pulau Pinang saya rasa berbangga kerana acara yang jarang-jarang dianjurkan ini diadakan di negeri ini. Agak teruja dapat terapung di udara walau hanya seketika," katanya yang bekerja sebagai juruteknologi makmal perubatan di sebuah hospital swasta di sini.

Pelbagai program menarik menanti pengunjung seawal 7 pagi hingga 9 malam termasuk persembahan paramotor, memanah dan pertandingan fotografi yang menawarkan hadiah tiket penerbangan ke Chiang Mai dan Bangkok dengan pertunjukan belon dijangka berlangsung sehingga tengah malam.

Pengunjung turut berpeluang merakam gambar aktiviti meneroka di dalam ruangbelon udara sepanjang 21.3 meter yang belum dikembangkan sepenuhnya dengan bayaran RM5.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam ucapan perasmiannya berkataacara julung kali dianjurkan dengan kerjasama Tourism Malaysia itu dijangka akan menjadi acara tahunan kerajaan negeri.

"Program ini suatu permulaan baik sempena Tahun Melawat Pulau Pinang 2015 dan berpotensi menjadi tarikan baru dengan menawarkan pengalaman istimewa kepada pengunjung," katanya.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff. 

Fiesta Belon Udara Panas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain