suria

Pelbagai Pandangan Terhadap Cadangan Ujian Memandu Warga Emas

Satu kejadian baru-baru ini di mana seorang pemandu warga emas merempuh dinding cermin sebuah bank sebelum melanggar dinding bersebelahan mesin ATM.
PETALING JAYA: Pengguna jalan raya mempunyai pandangan berbeza terhadap cadangan memperkenalkan ujian memandu tambahan untuk warga emas.

Beberapa kejadian yang tidak diingini melibatkan pemandu warga emas baru-baru ini telah mendorong panggilan supaya diadakan ujian semula dan pemeriksaan kesihatan wajib untuk memastikan golongan ini mampu memandu.

Sesetengah netizen berkata ujian seperti itu perlu manakala ada juga yang berpendapat adalah tidak wajar menyalahkan warga emas sahaja jika berlaku kemalangan jalan raya atau pemanduan tidak selamat.

"Saya percaya kebanyakan kemalangan maut bukan disebabkan oleh warga emas, sebaliknya oleh pemandu muda yang tidak bertimbang rasa dan agresif," kata pengguna Facebook Lai Kok Yam.

Sarojini Tamunaidu berkata walaupun warga emas memandu perlahan di jalan raya, mereka tidak menjadi satu 'ancaman'.

"Anda jarang-jarang sekali mendengar atau melihat warga emas membuli orang lain di jalan raya. Mereka lebih bersabar berbanding kita," katanya.

Sebaliknya, ada juga berpendapat ujian semula adalah satu kemestian, bukan hanya untuk keselamatan orang lain tetapi juga untuk warga emas itu sendiri.

"Saya rasa ia harus diwajibkan selepas usia 65, sekurang-kurangnya menjalani ujian mata tahunan. Ia boleh digabungkan dengan pembaharuan tahunan cukai jalan, yang tidak boleh dikeluarkan melainkan jika mereka lulus ujian asas.

"Saya tidak fikir ia perlu dibahaskan kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa mereka sendiri tetapi juga nyawa orang lain di jalan raya, " kata Andrea Awangku.

Mindy Chen berkata warga emas sering berada dalam penafian dalam pemanduan.

"Saya mempunyai rasa hormat terhadap warga emas. Walau bagaimanapun, apabila sudah berusia, penglihatan dan refleks mereka merosot.

"Ramai pemandu 'senior' memandu terlalu perlahan di jalan raya. Apabila terlalu perlahan, orang lain di belakang mereka akan mencari peluang untuk memotong dan ini boleh menyebabkan kemalangan, "katanya.

Seorang pengguna Facebook merasakan bahawa pemandu perlu mengambil ujian semula seawal usia 30.

"Saya rasa semua pemandu perlu diuji semula pada umur 30 tahun kerana tidak semua boleh memandu dengan baik dan ada juga yang enggan mengikut peraturan lalu lintas," kata Philip Chan.

Artikel Lain