KUALA LUMPUR: Sikap tidak bertanggungjawab warga asing yang membanjiri ibu kota untuk bersiar-siar sempena cuti umum Tahun Baharu Cina mengundang rasa marah dan resah orang ramai. Tinjauan Bernama mendapati kawasan sekitar Suria KLCC, Pasar Seni dan pusat beli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman mendapati ramai daripada mereka meludah sesuka hati di kaki lima, stesen bas, taman, mahupun di luar kawasan pusat beli belah. Ramai dari mereka juga tanpa menghirau budaya dan peraturan setempat, mengunyah sireh dan meludah merata-rata sehingga mengotorkan kawasan sekeliling. Di hab bas di depan KLCC, ramai warga asing dilihat meletakkan kaki diatas tempat duduk sambil merokok dan membuang puntung rokok merata-rata. Bagi seorang pelajar kolej tempatan, Nurfarisha Aziz, 19 yang datang ke ibu kota bersama rakannya berkata, hasratnya bersiar-siar tergendala apabila melihat ramai warga asing melepak dan mundar-mandir di kawasan sekitar luar Suria KLCC. "Keseronokan kami bersiar-siar bertukar menjadi suram apabila melihat tempat ini penuh dengan warga asing yang berpeleseran seakan ibu kota ini negara mereka sendiri," katanya. Tidak salah mereka melawat tetapi sikap membuat bising, mengotorkan tempat awam dan datang dengan kumpulan-kumpulan besar menakutkan kami," katanya. Seorang pengunjung tempatan, M. Karupiah, 40 yang pergi ke Pasar Seni untuk membeli barang juga berkata kebanyakan warga asing yang ditemuinya tidak menjaga kebersihan terutamanya di kawasan tumpuan pelancong. "Mereka tidak mempunyai kesedaran sivik akan kebersihan dengan membuang sampah di merata-rata tempat walaupun disediakan tong sampah di kawasan berkenaan," katanya. Sementara itu, Hasimah Awang, 50, penjaja gerai di sekitar pusat beli belah Sogo turut melahirkan rasa kesal terhadap tabiat warga asing yang meludah dan membuang sampah di merata tempat. "Terdapat pelbagai kemudahan tong sampah disediakan namun mereka tetap membuang sampah di merata tempat, jadi tidak hairanlah keadaan di sekitar ibu kota dilihat kotor daripada biasa pada hari kelepasan am," katanya. Pemandu teksi, Razak Ahmad, 46, yang sering mengambil penumpang di sekitar KLCC turut menyatakan kekecewaan beliau melihat gelagat warga asing yang 'berkampung' bersama rakan di situ. "Saya amat kecewa melihat mereka (warga asing) meludah sesuka hati di merata tempat dan mengotorkan kawasan sekitar pusat beli-belah tumpuan ramai ini...saya harap pihak berkuasa dan Dewan Bandaraya (Kuala Lumpur) dapat mengambil tindakan wajar," katanya. Orang ramai berharap DBKL mengenakan tindakan tegas antaranya mendenda segera tindakan warga asing yang melanggar peraturan dan undang-undang setempat.