SEREMBAN: Sebuah kereta jenis Kia Sorenta terbakar di tempat letak kenderaan berhampiran bangunan Senawang Business Park dekat sini, awal pagi Ahad. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang Mohamad Faiz Sulaiman berkata, sebuah jentera bersama-sama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira 4 pagi. "Api berjaya dikawal dan padam sepenuhnya 37 minit kemudian. Tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan. Bagaimanapun, kereta berkenaan musnah terbakar 80 peratus," katanya ketika dihubungi Bernama. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya. Sementara itu, sebuah lori tiga tan membawa muatan susu dan air terbalik di Km278.7, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan dekat Nilai pada kira-kira 9.45 pagi ini. Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Sharim Simin berkata, lori itu dipercayai hilang kawalan dan terbalik selepas satu daripada tayarnya pecah. Pemandu lori itu dan seorang lelaki yang dipercayai penumpang lori itu cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk rawatan, katanya ketika dihubungi Bernama. Katanya, anggota bomba dan pekerja Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) membuat pemantauan dan menjalankan kerja pembersihan di kawasan kejadian.