PAGOH: Individu yang terbabit dalam kumpulan militan IS disifatkan sebagai golongan yang kurang pengetahuan agama sehingga mudah terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan di luar negara itu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata keadaan itu diburukkan lagi dengan pengaruh media sosial yang menumpukan golongan remaja untuk menyertainya. "Saya rasa mereka yang mahu menyertainya seperti ke Syria ini sebagai orang yang kurang pengetahuan agama. Mereka ini amat tipis pegangan agama dan cepat terpengaruh. "Mereka ini diberitahu kononnya untuk ke sana adalah untuk menegakkan agama Islam tetapi sebenarnya mereka tidak tahu ia adalah perjuangan ekstremis dan ia bukan ajaran Islam sebenarnya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Pesara Polis Diraja Malaysia bersempena Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kompleks Galeri Darurat Bukit Kepong di sini, Isnin. Hadir sama Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff. Pada 18 Feb, sepasukan polis dari Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman menahan seorang remaja perempuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dipercayai merancang untuk berkahwin dengan pelajar Malaysia di Mesir, sebelum menyertai kumpulan IS. Suspek berusia 14 tahun itu dikesan terpengaruh dengan fahaman ekstremis selepas berinteraksi dengan dua individu di laman Facebook, sebelum bertindak nekad mahu meninggalkan negara bagi menyertai kumpulan pengganas berkenaan. Mengulas perkara itu, Mohmad turut terkejut dengan penglibatan remaja berkenaan yang disifatkan juga sebagai 'tidak mengetahui apa-apa' untuk ke negara itu. "Kita pun tidak tahu apa yang dia nak perjuangkan. Negara yang dia hendak pergi pun dia tidak tahu apa-apa," katanya. Beliau berkata menangani perkara itu bukanlah tanggungjawab polis semata-mata tetapi tanggungjawab bersama masyarakat terutama ibu bapa. Katanya ibu bapa perlu mengetahui tujuan anak-anak melayari internet kerana khuatir mereka terpengaruh dengan kumpulan militan berkenaan. Pada majlis itu turut diadakan persembahan pantomin mengenai sejarah tragedi Bukit Kepong dan tahlil bersempena peringatan Hari Polis itu. Mengenai cabaran polis, Mohmad berkata generasi kini perlu mengetahui dengan jelas sejarah negara terutama tragedi Bukit Kepong yang berlaku 65 tahun yang lalu. "Ramai wira negara terkorban dalam tragedi itu dan generasi akan datang perlu menghayati dan menghargai pengorbanan wira-wira ini dalam mempertahankan negara," katanya.