suria

Pasar Malam: Adun DAP Diselar Kerana Tidak Rujuk Persatuan

SIBU: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, David Wong Kee Woan pada Isnin diselar kerana mengeluarkan kenyataan berkaitan pasar malam di bandar ini tanpa merujuk Persatuan Penjaja Pasar Malam Sibu.

Pengerusi persatuan itu Wong Kei Kwong berkata tindakan semberono wakil rakyat daripada DAP itu telah mencalarkan imej pihaknya.

"Sebagai seorang YB, David Wong sepatutnya berhubung dengan pihak kami terlebih dahulu dan bukannya membuat sebarang kenyataan tanpa usul periksa di dada akhbar mahupun media sosial dan merosakkan imej penjaja-penjaja pasar malam," katanya.

Dengan nada tegas, beliau berkata: "Jangan jadikan kami modal politik anda kerana kami hanya penjaja yang mahu cari makan dengan berniaga, bukan politik".

Kei Kwong bercakap pada sidang media di sini pada Isnin mengenai tindakan Adun itu yang mempersoalkan mengapa Majlis Perbandaran Sibu (SMC) tidak membenarkan penjaja beroperasi 24 jam bersempena sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

"Ia seperti membunuh semangat Tahun Baharu Cina. Malam ini saya terkejut melihat pasar malam dan siar kaki tradisional yang popular di Sibu tidak bermaya," kata ADUN itu dalam status Facebook pada 18 Feb lalu yang turut mendesak kepimpinan SMC menjelaskan perkara tersebut.

Kei Kwong menerangkan pihaknya mengadakan karnival pasar malam di Dataran Bandar Sibu bermula 6 Feb hingga 8 Mac itu di mana 200 gerai berkanopi disediakan untuk anggota dan bukan anggota persatuan itu.

"Rata-rata penjaja membuat jualan paling kurang RM300 dengan hanya berniaga dari pukul 5 petang sehingga 11.30 malam," katanya.

Beliau berkata daripada lebih 100 penjaja, hanya 11 sahaja yang mahu membuka gerai pasar malam 24 jam tahun ini berbanding 24 penjaja pada tahun lepas.

"Selain sambutan kurang memberangsangkan daripada penjaja, kami tidak adakan jualan 24 jam itu kerana berdasarkan pengalaman tahun lepas, jualan penjaja dalam tempoh itu hanya mencecah RM1,000 sahaja," katanya.

DAP, Sibu, Pasar Malam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain