suria

Rakaman Suara Dakwa Mat Sabu Cuba Jatuhkan Hadi Awang

PETALING JAYA: Satu rakaman suara yang didakwa sebagai taklimat Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu untuk menggulingkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didedahkan di laman sosial Facebook.

Pendedahan rakaman itu dibuat di laman, Tuc Tok Usin Ceroi (Pemburu Jebon) pada petang Isnin sebelum menjadi tumpuan ramai.

Menurut pendedahan itu, rakaman suara berkenaan merupakan taklimat oleh Mohamad atau Mat Sabu untuk memburuk dan menjatuhkan Abdul Hadi sebagai presiden PAS.

Dalam rakaman suara berdurasi 2 minit 10 saat itu, Mat Sabu didakwa berkata," Dalam dua tiga hari ini, saya cuba buat 'counter attack' (serangan balas) dalam bentuk bertemu individu.

"Semalam saya ke Tanjung Karang bertemu dengan YDPnya. Bertemu dengan Sungai Besar, bertemu dengan YDP dan jawatankuasanya...dua tiga orang.

"Secara umumnya presiden dianggap ulama hebat dan maksum...perlu denied (dinafikan)."

Selain suara yang didakwa sebagai Mat Sabu, terdapat suara lelaki yang menyoal balas.

Rakaman suara itu bagaimanapun tamat sebelum taklimat yang didakwa berakhir.

Laman Tuc Tok Usin Ceroi didakwa dikendalikan oleh ahli PAS yang turut tidak menerima pandagan daripada penyokong parti lawan.

Laman tersebut juga kelihatan aktif mendedahkan usaha Mat Sabu untuk menjatuhkan Abdul Hadi sebagai ulama dalam PAS.

PAS, Mat Sabu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain