suria

Tulisan Menyentuh Hati Anak Sempena Hari Lahir Ketua Pramugara MH370

Maira (kiri) bersama Andrew Nari.
PETALING JAYA: "Saya masih ingat lagi saat-saat pada kali terakhir sambutan hari lahir anda," tulis Maira Elizabeth Nari, sebagai tanda penghormatan terhadap ayahnya yang merupakan ketua pramugara pesawat malang Malaysia Airlines (MAS), penerbangan MH370.

Maira mencatatkan penghormatannya terhadap Andrew Nari yang memasuki usia 50 pada Sabtu di laman Instagramnya dengan memuat naik gambar ayahnya bermain salji.

"Wajah ayah ketawa gembira, selamat hari jadi ayah! Anda telah berusia 50 tahun dan dalam masa dua minggu lagi, genap satu tahun MH370 hilang.

"Saya masih ingat detik-detik terakhir sebelum ibu dan Malcolm menghantar anda ke lapangan terbang," tulisnya.

Dia menambah, keluarganya telah merancang sambutan besar-besaran untuk sambutan hari jadi Andrew yang ke-50.

"Anda tiada di sini, hari ini, kami akan pergi ke gereja untuk meraikan hari lahir anda, dan anda sentiasa berada dalam hati dan ingatan kami.

"Kami benar-benar rindukan anda dan kami sentiasa menyayangi anda, anda adalah suami terbaik kepada ibu dan ayah terbaik untuk saya dan Malcolm, selamat hari lahir ke-50 ayah," tambahnya.

Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac ketika perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal.

Pesawat itu dipercayai telah 'berakhir' di selatan Lautan Hindi.

Pada 29 Januari penerbangan MH370 secara rasmi diisytihar sebagai kemalangan.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan