suria

MH370: Tiong Lai Ulas Laporan Mirror Online

GEORGE TOWN: Kerajaan akan terus berusaha mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di tempat ia dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, daripada kawasan pencarian membabitkan jumlah keluasan 60,000 kilometer persegi, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah melakukan operasi pencarian membabitkan 35 peratus daripada keluasan itu.

"Kami berharap pesawat ini akan ditemukan. Kami masih meneruskan pencarian.

Berdasarkan data yang diterima daripada Inmarsat jelas menunjukkan bahawa pesawat MH370 menuju ke selatan Lautan Hindi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah rerbuka Tahun Baharu Cina dan perasmian Wisma MCA di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar harian di United Kingdom, The Mirror baru-baru ini yang memetik kenyataan pakar penerbangan dalam program dokumentari National Geographic yang mendakwa pesawat MH370 menuju ke Antartika.

Tiong Lai berkata, setiap pesawat mempunyai isyarat yang berbeza dan menerusi data yang diberikan oleh Inmarsat dan Pusat Kawalan Lalulintas Udara menyatakan MH370 menuju ke selatan Lautan Hindi.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, bersempena genap setahun kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac depan, pihak MAS akan mengadakan majlis bagi memperingati pesawat dan para penumpang penerbangan itu.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan masih belum mempunyai sebarang keputusan tentang apa yang boleh dilakukan bersempena hari memperingati pesawat dan penumpang MH370.

"Kerajaan belum mempunyai apa-apa keputusan, segala keputuan harus dibincang terlebih dahulu bersama dengan China dan Australia," katanya.

Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac tahun lalu bahawa Penerbangan MH370 dipercayai berakhir di satu kawasaan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Pada 29 Januari tahun ini, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mengisytiharkan insiden itu sebagai kemalangan berdasarkan peraturan penerbangan antarabangsa, dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal dianggap terkorban.

Ketika ditanya berhubung kenaikan tambang feri, Tiong Lai berkata, perkara itu masih di peringkat cadangan dan beliau akan melihat maklum balas daripada orang ramai.

"Setiap 10 tahun Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang akan menyemak semula kadar tambang feri, tambang feri masih lagi berada pada paras rendah. Sebelum ini ia disemak pada 1996, 2005 dan kini (2015).

"Sebelum melakukan apa-apa kenaikan tambang, kami akan mendapatkan maklum balas daripada orang awam dahulu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain