suria

BN Tidak Bertanding Di DUN Chempaka - Najib

Najib Tun Razak (duduk, dua kanan) mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Datuk Onn Rabu malam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (duduk, dua kiri), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (duduk kiri), Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (duduk, kanan) dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (berdiri tengah).Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac depan untuk memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini kerana kerja-kerja pemulihan masih dalam proses untuk dilaksanakan bagi membantu mangsa banjir dinegeri itu.

"Masih banyak pihak yang patut terima bantuan dan masih tidak menerimanya. Kita jadikan ini keutamaan yang tertinggi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini Rabu malam.

Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO berkata langkah itu juga bertujuan memastikan perpaduan ummah dapat dikukuhkan. Walaupun terdapat perbezaan fahaman politik di negeri itu, perpaduan ummah dilihat sebagai agenda yang penting, katanya.

Perdana Menteri berkata keputusan serupa pernah dibuat BN pada PRK Parlimen Bukit Gelugor pada Mei 2014, "jadi tidak semestinya kita lakukan (bertanding)...lihat pada keadaan."

Najib berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan menyeluruh dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan dan Umno Bahagian Pengkalan Chepa sebelum membuat keputusan berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Dun Chempaka 22 Mac depan manakala penamaan calon 10 Mac.

Kerusi Dun Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Nik Abdul Aziz yang merupakan Mursyidul Am PAS menang di kerusi Dun Chempaka dengan majoriti 6,500 undi.

Bekas menteri besar Kelantan itu mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak memperoleh 5,810 undi.

PRK Dun Chempaka, BN, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Lain