suria

ESSZone: Perintah Berkurung Dilanjut Hingga 14 Mac

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di perairan enam daerah di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) dilanjutkan bagi fasa ke-15 dari 7 malam hingga 5 pagi mulai 27 Februari hingga 14 Mac ini.

Penguatkuasaan perintah berkurung fasa ke-14, yang melibatkan jarak tiga batu nautika dari pantai di perairan Sandakan, Kinabatangan, Kunak, Lahad Datu, Tawau dan Semporna, berakhir hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata perintah berkurung itu dilanjutkan bagi menjamin tahap keselamatan pengguna perairan termasuk penduduk di kawasan daratan ESSZone dan pelancong di Sabah.

"Arahan itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan segala pergerakan bot penceroboh serta jenayah rentas sempadan aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api terkawal," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis. 

Menurutnya arahan perintah berkurung itu, yang dibuat sejak 19 Julai tahun lepas, turut disokong para pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dalam memastikan keselamatan perairan termasuk pulau-pulau di persempadanan.

perintah berkurung, ESSZONE, Sabah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan