Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara yang patut ditekankan adalah amalan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai.
Malah, katanya, masyarakat juga digalakkan untuk mengekalkan gaya hidup sihat dengan mengamalkan diet seimbang, minum banyak air, bersenam setiap hari dan berehat secukupnya.
Beliau berkata, sekiranya terdapat simptom virus tersebut seperti demam, batuk dan sukar bernafas, anda dinasihatkan supaya berjumpa doktor untuk pemeriksaan dengan segera.
"Sekiranya tidak sihat anda dinasihatkan untuk berada di rumah dan elakkan berada di tempat kerja, sekolah atau tempat sesak," katanya.
Dr Noor Hisham berkata walaupun kebanyakan virus tersebut tidak menjangkiti manusia, terdapat beberapa kes jangkitan pada manusia dilaporkan berlaku di beberapa buah negara.
"Kebanyakan orang yang dijangkiti hanya mendapat gejala ringan dan virus tersebut tidak mudah berjangkit," katanya.
Justeru, beliau berkata, tiada keperluan untuk membuka kaunter saringan kesihatan H1N1 di pintu masuk negara ini.
Baru-baru ini, India mengharamkan perhimpunan awam di negara itu bagi mengelak tersebarnya wabak tersebut.
Kementerian Kesihatan India memaklumkan setakat Ahad, wabak itu meragut 833 nyawa, manakala 14,484 penduduk disahkan dijangkiti penyakit itu.
Pihak berkuasa bandar terbesar di barat Gujerat kini semakin resah apabila berhadapan kesukaran untuk menangani penyebaran penyakit berpunca dari ternakan itu.
"Kami telah mengeluarkan notifikasi menghalang perhimpunan beramai-ramai di semua daerah, bagaimanapun majlis perkahwinan dan kematian dikecualikan, "
menurut pihak berkuasa itu.
Pada April 2009, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan krisis kecemasan kesihatan antarabangsa ekoran merebaknya wabak tersebut.