JOHOR BAHARU: Seorang pemandu maut selepas digilis tayar lorinya akibat tergelincir ketika cuba memberhentikan kenderaan itu daripada melanggar sebuah warung di Jalan Besar, Felda Inas di Kulai, di sini, Jumaat. Dalam kejadian 7 pagi itu, mangsa Rizal Osman, 37, mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk. Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Johor, mangsa sebelum itu memberhentikan lorinya berdekatan warung terbabit sebelum menyedari ia bergerak akibat kegagalan sistem brek. "Mangsa cuba untuk naik semula (ke dalam lorinya) namun tergelincir sebelum terperosok ke bawah tayar lori," katanya. Enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.47 pagi, mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa.