suria

Empat Gudang Simpan Sisa Toksik Di Sendayan Terbakar

SEREMBAN: Empat gudang menyimpan sisa toksik jenis Forest Chemical di Pusat Pengurusan Sisa Berjadual Kualiti Alam di Bukit Nanas, Sendayan dekat sini, terbakar kira-kira pukul 1.30 tengah hari Jumaat.

Kejadian itu menyebabkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan kebakaran.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Seremban ketika dihubungi Bernama berkata usaha mengawal kebakaran setakat pukul 5.30 petang ini masih dijalankan bagi mengelak api merebak ke kawasan lain.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini," katanya.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.41 tengah hari dan sebanyak dua jentera bersama-sama 14 anggota bergegas ke lokasi kejadian, katanya.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan Perkhidmatan Perubatan Penyelamat Kecemasan (EMRS) turut dikejarkan ke lokasi kejadian, katanya.

Menurutnya operasi memadamkan kebakaran turut dibantu sebuah jentera bersama-sama enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel Lain