suria

SPRM Masih Ada Taring - Shukri Abdull

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan kredibiliti pasukan penyiasat dan pendakwaannya yang disifatkan masih 'bertaring' kerana berupaya mengheret suspek kes rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan ke mahkamah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, pegawai penyiasat dan pendakwaannya terlatih yang bertanggungjawab mengumpul bukti dan melengkapkan kertas siasatan juga telah melaksanakan tugas dengan baik.

Mohd Shukri Abdull

"Jadi tidak timbul isu SPRM sudah hilang taring kerana tugas kami hanya menjalankan siasatan, manakala mahkamah pula menjatuhkan hukuman dan itu hak mahkamah kerana hakim lebih arif," katanya kepada mStar Online, Jumaat.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas berhubung kes membabitkan bekas pegawai Jabatan Hutan Daerah Hulu Perak yang dijatuhi hukuman denda RM70,000 atau penjara tujuh bulan pada Rabu.

Kes berkenaan menarik perhatian ramai apabila lebih RM3 juta ditemui di kediaman tertuduh, Amir Sharifud-din Aliman dan juga dalam akaun milik ahli keluarganya. Situasi ini menyebabkan pelbagai pihak mempersoalkan hukuman yang dianggap tidak setimpal yang dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang berusia 61 tahun dan menghidap penyakit jiwa iaitu 'Kecelaruan Afektif Dwikutub' yang disahkan pakar psikiatri Hospital Fatimah Ipoh dan masih menjalani rawatan susulan itu juga menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding di Mahkamah Sesyen di Ipoh.

Amir Sharifud-din mengaku menerima rasuah RM100,000 daripada seorang kontraktor balak, tiga tahun lepas.

Pada masa sama, Hakim Rihaida Rafie turut mengarahkan wang tunai RM768,970 milik Amir Sharifud-din yang dirampas dari rumah tertuduh serta wang berjumlah RM3,103,324.71 dalam 12 akaun milik isteri dan empat anaknya (jumlah keseluruhan RM3.872 juta) dilucut serta diserah kepada kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, pada 1 Februari 2013, tertuduh mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM390,000 daripada dua kontraktor balak antara April 2010 dan Januari 2012.

Amir Sharifud-din Aliman

Ditanya apakah SPRM berpuas hati dengan hukuman ringan yang dikenakan terhadap Amir Sharifud-din, Shukri bagaimanapun enggan mengulas perkara itu dengan alasan ia bukan bidang kuasanya.

"Kami menjalankan siasatan dan ia telah dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata, faktor kesihatan tertuduh adalah antara aspek yang diambil kira pihak pendakwa raya dalam kes berkenaan.

"Tidak boleh buat andaian bukti dalam bentuk wang yang dikumpul SPRM berbanding hukuman yang dikenakan, ia tidak betul," katanya ketika dihubungi.




Artikel Berikut

Artikel Lain