suria

Kemalangan Portal Semantan: MRT Tunggu Laporan Bedah Siasat

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) masih menunggu laporan bedah siasat berhubung punca kematian seorang pekerja warga Bangladesh dalam kemalangan di tapak pembinaan MRT di Portal Semantan, di laluan Jalan Duta pada Jumaat.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awamnya Amir Mahmood Razak berkata bedah siasat terhadap mayat Rijaul Abdul Goni, 40, yang maut di tempat kejadian dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), dan siap lewat petang Jumaat.

"Laporan bedah siasat itu masih belum dikeluarkan oleh pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Amir menafikan laporan media bahawa badan Rijauli hancur dalam kemalangan itu dan menurutnya laporan awal menyatakan badannya dalam keadaan baik.

"Syarikat kami sedang membuat persiapan untuk menghantar jenazah Rijaul pulang ke negaranya pada Isnin," katanya dan menurutnya syarikat telah menghubungi Suruhanjaya Tinggi Bangladesh berhubung perkara itu.

Dalam kemalangan itu, tiga pekerja Bangladesh sedang memasang kerangka besi tetulang di tapak V4 Portal Semantan pada 1.20 tengah hari semalam apabila  ikatan antara besi tersebut dan kerangka terputus dan menghempap pekerja berkenaan.

Sementara seorang lagi pekerja, Shanaullah yang dihantar ke HKL kerana mengalami kecederaan di muka dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas surgeri dilakukan pada hidungnya manakala seorang lagi pekerja Rozlu Karim tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Amir berkata syarikat merakamkan takziah dan rasa kesal dengan kejadian itu kepada keluarga pekerja berkenaan berhubung kejadian malang itu.

Katanya MRT Corp bersama-sama pihak berkuasa relevan sedang menjalankan siasatan untuk menentukan punca kejadian itu.

MRT, Semantan

Artikel Sebelum

Artikel Lain