LABUAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengumumkan tujuh inisiatif dan projek bagi meneruskan momentum pembangunan pulau bebas cukai ini yang berkembang pesat demi kemakmuran dan kesejahteraan penduduknya. Inisiatif dan projek berkenaan termasuk meneruskan pemberian subsidi untuk feri penumpang Labuan bernilai RM15 juta setahun dan membangunkan Mini Pusat Transformasi Bandar (UTC) untuk menempatkan semua agensi kerajaan Persekutuan di bawah satu bumbung bagi menyediakan perkhidmatan lebih cekap kepada rakyat. Selain itu, peruntukan RM1.5 juta untuk mewujudkan kemudahan eskalator di Kompleks Pasar Sentral Labuan; RM20 juta untuk menaik taraf kemudahan di jeti pendaratan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Labuan; pembinaan beberapa batang jalan raya yang perinciannya akan diumumkan kemudian dan penurunan secara ketara duti setem untuk penukaran status tanah pertanian kepada perumahan. Turut diumumkan ialah projek-projek di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan (JAWI) berjumlah RM77.5 juta. Projek berkenaan adalah pembinaan surau baharu di Kampung Sungai Bedaun bernilai RM7 juta, RM5 juta bagi pembinaan surau pusat bandar, RM60 juta untuk pembinaan Sekolah Menengah Agama dan asrama di Kampung Sungai Bedaun serta RM2 juta untuk kerja baik pulih Masjid An Nur. Najib mengumumkan inisiatif dan projek itu ketika berucap pada majlis perasmian Kompleks Pasar Sentral Labuan di sini hari ini. Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Anggota Parlimen Labuan yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Rozman Isli. "Saya senang melihat pembangunan Pulau Labuan sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan. Dahulu kita lihat Labuan sebagai satu pulau yang agak lembab dan barangkali wajahnya tidak begitu segar tetapi hari ini jelas sekali bahawa hasil daripada perancangan dan strategi pembangunan yang dilaksanakan kerajaan maka Wilayah Persekutuan Labuan sudahpun bertukar wajah menjadi pulau yang lebih moden, progresif dan rancak pembangunan ekonominya. "Namun tugas kita belum berakhir ... kita perlu jadikan Wilayah Persekutuan Labuan ini bukan sahaja manfaatnya dalam konteks domestik tetapi memaparkan Labuan sebagai pulau bertaraf antarabangsa. Usaha kita perlu dilipatgandakan," katanya. Katanya usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan Labuan meskipun ia kini sudah terkenal sebagai pusat industri gas dan minyak dan Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa (IOFC) selain beberapa potensi pelancongan yang sudah dikenal pasti serta memiliki sebahagian daripada kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pusat matrikulasi. Justeru itu, kata Najib dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bermula 2016, usaha serius perlu dilakukan untuk mengenal pasti apa lagi projek yang diperlukan bagi meneruskan pembangunan Labuan dalam pelbagai sektor ekonomi. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata projek dan inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan kerajaan di Labuan akan mendahulukan kepentingan rakyat demi kemakmuran dan kesejahteraan penduduk pulau berkenaan. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan penubuhan Yayasan Pendidikan Labuan serta mengumumkan bantuan RM2 juta untuk yayasan berkenaan meningkatkan taraf pendidikan dan membina modal insan. "Saya dapat lihat kalau kita hendak jamin rakyat mengecapi pembaharuan dan transformasi ... mesti labur dalam pembangunan modal insan. Kalau tidak, nanti orang tempatan akan merasai diri mereka terpinggir daripada arus pembangunan," katanya. Katanya sekiranya anak-anak tempatan Labuan berjaya dalam pendidikan dan memiliki kemahiran tinggi sudah tentu mereka akan turut mengecapi nikmat daripada apa juga bentuk aktiviti ekonomi dan pelbagai sektor lain yang diwujudkan di pulau berkenaan. Najib juga mengumumkan untuk sekali lagi melawat Labuan sebelum akhir tahun ini.