suria

UPP Sedia Kerjasama Dengan BN Sarawak Pada PRN-11

SIBU: Parti Rakyat Bersatu (UPP) bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 yang akan diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

Berucap pada majlis akan sumpah pertama UPP Cawangan Bawang Assan di sini pada Sabtu, presidennya Datuk Sri Wong Soon Koh berkata ia adalah untuk memastikan BN Sarawak meraih kemenangan mutlak pada PRN itu nanti.

Menurutnya semua anggota UPP juga telah diarahkan supaya bercampur gaul dengan masyarakat setempat di tempat masing-masing sebagai usaha mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap BN.

"Kita juga berharap ahli-ahli keluarga BN bersedia untuk bekerjasama dengan UPP demi kesatuan BN bagi memastikan kemenangan.

"Kita juga berharap parti komponen BN Sarawak membenarkan calon boleh menang untuk mewakili BN pada pada pilihan raya negeri akan datang," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak tujuh jawatankuasa di bawah cawangan Bawang Assan, yang juga dipengerusikan sendiri oleh Wong, telah mengangkat sumpah.

Baru-baru ini, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem tidak menolak kemungkinan akan mencalonkan calon-calon boleh menang daripada UPP dan TERAS untuk mewakili BN pada pilihan raya akan datang.

UPP adalah pecahan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan TERAS pula adalah pecahan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Selain SUPP dan SPDP, komponen BN Sarawak turut dianggotai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Wong, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti, memenangi kerusi Bawang Assan pada pilihan raya negeri 2011 atas tiket BN-SUPP.

Beliau berkata sebagai sebuah parti politik baharu di negeri ini, UPP akan dijadikan sebuah parti yang kukuh, bertenaga dan bersemangat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain