KUCHING: Lapan penumpang cedera bila sebuah bas yang membawa 48 pekerja warga Indonesia dari Tebedu ke Miri hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan di Selepong Berayun, 28 kilometer dari bandar Sri Aman pada Ahad. Bas berkenaan bertolak dari Pos Imigresen Tebedu pada jam 11 pagi Ahad dan kemalangan berlaku di sekeloh Selepong, Jalan Sri Aman-Sibu jam 1.15 petang. Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman Ranger Moss, bas terbabit dipercayai terbabas apabila cuba mengelak sebuah Toyota Hilux di hadapannya di laluan yang sama yang tiba-tiba hilang kawalan dan terlebih dahulu terbabas. Bagaimanapun, tiada kemalangan berlaku antara bas dan Toyota Hilux berkenaan, katanya ketika dihubungi Bernama. “Tujuh penumpang bas warga Indonesia cedera ringan dan seorang lagi yang patah tangannya dikenali sebagai Syaiful Anuar, 30, dihantar ke Hospital Sri Aman untuk menerima rawatan,” katanya. Beliau berkata pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux hanya cedera ringan, manakala pemandu bas tidak cedera.