GUA MUSANG: Isteri kepada seorang anggota sukarelawan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang maut akibat dikelar di leher oleh penjenayah yang dipercayai cuba menyamun rumahnya di Kampung Batu Papan di sini awal pagi, Ahad. Yashmin Fauzi, 26, yang berlumuran darah ditemui terbaring di atas jalan di hadapan rumahnya oleh suaminya Mohd Azrul Isahak, 30, kira-kira pukul 2.40 pagi. Beliau kemudian membawa isterinya ke Hospital Gua Musang dan meninggal dunia kira-kira pukul 6.40 pagi. "Mangsa dipercayai sedang tidur apabila rumahnya diceroboh masuk, disyaki oleh beberapa orang sebelum leher mangsa dikelar. "Mangsa kemudiannya dipercayai diusung keluar dan ditinggalkan di atas jalan di hadapan rumahnya," kata Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah. Beliau berkata motif kejadian sedang disiasat selain mengesyaki ia bermotifkan samun. "Siasatan awal juga mendapati terdapat tompokan darah dalam bilik tidur mangsa dan dipercayai berlaku pembunuhan di situ. Suspek dipercayai mengusung keluar mangsa kerana menganggap mangsa sudah meninggal dunia. “Kita juga dimaklumkan ketika suami mangsa pulang, mangsa masih bernyawa dan sempat menceritakan kejadian yang menimpanya sebelum dia dikejarkan ke hospital," katanya. Beliau berkata suami mangsa yang baru memulakan tugas pada pukul 1 pagi di IPD tersebut dilaporkan merasa tidak sedap hati dengan keselamatan isterinya lalu mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.