JOHOR BARU: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran, Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mewakili Seri Paduka, telah menyampaikan pengurniaan darjah kebesaran itu kepada Sultan Ibrahim dalam satu majlis ringkas di Istana Bukit Serene di sini. Majlis penyampaian darjah kebesaran itu turut disaksikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim. Antara pegawai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Darjah kebesaran itu dikurniakan kepada Sultan atau Raja yang memerintah negeri.