suria

Buru Pengelak GST

Anggota Kastam Perlis memeriksa dokumen pendaftaran GST milik seorang peniaga di Jejawi , Perlis pada Ahad. -foto G.C.TAN/THE STAR

PETALING JAYA: Jabatan Kastam mula melancarkan operasi besar-besaran untuk memburu pemilik perniagaan yang gagal mendaftar syarikat mereka di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) walaupun masa yang mencukupi diberikan untuk berbuat demikian.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy berkata operasi itu bermula pada Ahad di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Menurut berliau Ops Khas GST di seluruh negara yang melibatkan 5,000 pegawai akan diperluaskan ke negeri-negeri lain mulai Isnin.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad dijangka akan mengadakan sidang media selepas pelancaran rasmi operasi itu di Ibu Pejabat Jabatan Kastam di Kelana Jaya.

Subromaniam berkata pemilik syarikat yang didapati tidak mendaftar bagi tujuan GST akan dikenakan tindakan.

"Tiada kelonggaran. Pegawai Kastam akan pergi kepada syarikat-syarikat untuk mengambil tindakan kerana notis telah diberikan sejak tiga minggu lalu.

"Para pesalah akan dikenakan denda kompaun sebanyak RM15,000 dan akan dipaksa untuk mendaftar," katanya sambil menambah bahawa mereka diberikan masa dua minggu untuk membayar kompaun atau berhadapan risiko didakwa di mahkamah.

Beliau mengulangi bahawa Jabatan Kastam tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

"Ia tidak adil kepada perniagaan yang telah berdaftar dan akan dikenakan GST sementara yang lain memilih untuk tidak mendaftar," katanya.

Subromaniam berkata sejumlah 345,376 perniagaan sudah mendaftar bagi GST sehingga 28 Februari lalu.

Kira-kira 60,000 syarikat masih belum mendaftar untuk GST pada 27 Februari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain