suria

Tiada Rancangan Perkenal Etika Berpakaian Kepada Pelancong Di Terengganu

Ahmad Razif Abd Rahman.
KUALA TERENGGANU: Tiada perancangan untuk menetapkan etika berpakaian kepada pelancong yang berkunjung ke Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman pada Isnin.

Beliau berkata, tiada sebarang perancangan mahupun perbincangan mengenai perkara itu sambil menambah bahawa undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani masalah berpakaian menjolok mata.

"Tidak, kami tidak pernah berbincang mengenainya. Saya sendiri terkejut apabila isu itu menjadi viral.

"Saya telah bercakap dengan pengerusi exco yang mengumumkan mengenai perkara itu dan ia seolah-olah salah faham. Kami tidak berniat untuk menguatkuasakan peraturan seperti itu kepada pelancong.

"Sekiranya seseorang itu berpakaian tidak sopan, terdapat undang-undang sedia ada untuk menanganinya dan kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan peraturan baharu," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee menerusi laman web kerajaan negeri www.teganukita.com dipetik sebagai berkata kerajaan negeri tersebut akan mengeluarkan garis panduan etika berpakaian untuk diedarkan kepada pelancong terutamanya wanita.

Artikel tersebut kemudiannya dipadamkan beberapa jam kemudian.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain