suria

Jumlah Keluarga Malaysia Sertai Militan IS Meningkat

KUALA LUMPUR: Jumlah keluarga dari Malaysia yang menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) semakin meningkat dan sekurang-kurangnya lapan keluarga telah berada di Syria ketika ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata lima kanak-kanak berusia satu hingga 12 tahun turut dibawa oleh ibu bapa mereka ke Syria.

"Apa yang lebih membimbangkan apabila pengaruh IS ini semakin menjadi virus sehingga mampu membuatkan penghijrahan secara berkeluarga dan setakat ini seramai lapan buah keluarga telah berada di Syria," katanya.

Beliau berkata pengaruh ideologi serta latihan yang diberikan kepada anggota IS dilihat terlalu kuat sehingga ada anggotanya yang merupakan rakyat Malaysia pernah memberi amaran untuk membunuh keluarganya sekiranya mereka bersama-sama Kerajaan Malaysia cuba menentang IS.

"Amaran seperti ini bukan sahaja diberikan kepada pihak berkuasa tetapi kepada ahli keluarga mereka juga. Salah seorang daripadanya yang kini berada di Syria memberi amaran melalui Facebook kepada keluarganya iaitu akan membunuh ibu, ayah, abang, adik yang sama-sama menyertai kerajaan Malaysia untuk menentang IS," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Ayub Khan berkata setakat ini sekurang-kurangnya 500 akaun Facebook yang dikenal pasti menjalankan aktiviti mempromosi, merekrut serta cubaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk berjuang di Syria.

Katanya tidak ada sebarang tanda aras menunjukkan bahawa penglibatan rakyat Malaysia dengan IS berkurangan walaupun banyak tangkapan dan operasi dijalankan dengan penglibatan remaja berusia 20-an, adalah paling tinggi.

Ayub Khan berkata kebanyakan rakyat Malaysia yang ke Syria menggunakan duit sendiri dengan menjual harta peribadi mereka seperti rumah, kereta, motosikal dan sebagainya termasuk membuat pinjaman peribadi namun ada juga yang dibiayai.

Katanya ketika ini 61 rakyat Malaysia dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan IS dan daripada jumlah itu seramai 10 orang adalah wanita manakala tangkapan terkini terhadap mereka yang disyaki terlibat dengan IS di negara ini sehingga semalam mencecah 71 orang.

"Jumlah 61 orang ini termasuk juga kanak-kanak yang paling muda berusia 14 tahun yang bersama-sama keluarganya ke sana...manakala angka korban rakyat Malaysia di Syria sejak tahun lepas seramai tujuh orang," katanya.

Ancaman yang paling membimbangkan apabila mereka pulang, mereka akan membuat satu jaringan untuk menggulingkan kerajaan kerana ideologi mereka yang menggangap penubuhan negara Islam hanya melalui peperangan dan bukannya sistem demokrasi melalui pilihan raya yang diamalkan ketika ini, kata Ayub Khan.

Mengenai penglibatan pelajar Malaysia yang menuntut di negara berhampiran dengan Syria dan Iraq dan menjalani latihan IS di Syria, Ayub Khan berkata berkemungkinan ada diantara mereka menjalani latihan ketenteraan IS khususnya apabila cuti semester dan sebagainya.

Dalam perkembangan sama, ketika ini dianggarkan sekurang-kurangnya 100 anggota IS warga Malaysia dan Indonesia telah menyertai kumpulan gabungan anggota IS dikenali sebagai "Katibah Nusantara Lid Daulah Islamiah".

Kumpulan gabungan itu yang juga dikenali sebagai "Majmu'ah Al Arkhabiliy" ditubuhkan bagi memudahkan anggotanya berkomunikasi mengikut bahasa yang difahami mereka, katanya.

"Setakat ini kita tidak dapat membuat pecahan berapa ramai rakyat Malaysia di dalam gabungan ini... kumpulan ini telah ditubuhkan sejak tahun lepas," katanya.

Ayub Khan berkata individu yang dikesan telah berada di Syria atau yang telah ditahan di Malaysia kerana dipercayai terlibat dengan IS telah dibekukan asetnya dan kenderaan mereka telah disenarai hitam.

"Kita dah ambil tindakan susulan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan dengan membekukan aset 39 suspek. Kita juga senarai hitamkan sebanyak 44 buah kenderaan dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selain itu, passport mereka kita telah batalkan bermakna mereka tidak lagi boleh bergerak ke mana-mana negara sekiranya mereka telah berada di Syria  identiti mereka juga kita telah kongsi dengan Interpol dan agensi-agensi penguatkuasa asing lain," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain