KUALA LUMPUR: Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) Brigadier Jen Pengiran Datuk Paduka Aminan Pengiran Mahmud hari ini dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Paratrooper oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Penganugerahan itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Malaysia Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di dataran Kementerian Pertahanan Malaysia, disaksikan para pegawai Tentera Darat Malaysia, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan di sini. Penganugerahan beret dan sayap yang menjadi kebanggaan 10 Briged Para itu adalah penghormatan dan pengiktirafan briged berkenaan kepada individu, pemimpin tertinggi tentera atau kerajaan sama ada di dalam atau luar negara. Aminan kini dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini untuk mengukuhkan hubungan kerjasama ketenteraan yang sedia terjalin antara TDDB dan Tentera Darat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sempena kunjungannya ke Kementerian Pertahanan hari ini, Aminan turut membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain.