suria

Waris Penumpang, Kru MH370 Dapatkan Kaunseling

PUTRAJAYA: Waris penumpang dan kru penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 berhubung dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mendapatkan khidmat kaunseling tatkala ulang tahun kehilangan pesawat itu pada 8 Mac makin hampir.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata beliau sudah mengarahkan kesemua kaunselor kementerian itu untuk melayan dan memberi segala sokongan yang diperlukan waris penumpang dan kru pesawat berkenaan.

"Ada famili sudah telefon untuk kaunseling. Dia dah rasa tidak sedap hati.

Mereka perlukan bantuan, dia hendak cakap dengan kaunselor. Keluarga penumpang dan kru rapat dengan kaunselor. Mereka boleh telefon bila-bila masa.

"Saya minta kaunselor saya untuk layan (keluarga MH370) sebab tidak ada siapa mereka hendak cakap. Keluarga MH370 dan kaunselor KPWKM kini sudah ada satu bonding (rapat) dan kepercayaan antara satu sama lain," katanya.

Rohani berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai sokongan yang diberi KPWKM kepada keluarga kru dan penumpang MH370 menjelang setahun kehilangan pesawat berkenaan Ahad ini.

Beliau berkata penglibatan KPWKM dalam kehilangan MH370 adalah setakat memberi sokongan kaunseling sahaja dan kerajaan tidak mengadakan apa-apa upacara khas sempena genap setahun kehilangan pesawat berkenaan Ahad ini.

Katanya hubungan yang terjalin sejak kehilangan pesawat berkenaan setahun lalu membolehkan keluarga penumpang dan kru MH370 menghubungi kaunselor KPWKM pada bila-bila masa kini untuk meluahkan perasaan.

"Pegawai saya sentiasa bersiap sedia untuk dipanggil. Sebelum ini keluarga penumpang dan kru banyak menyuarakan kebimbangan kepada kaunselor seandainya pencarian MH370 ditamatkan," katanya.

Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pada 29 Januari, kerajaan Malaysia mengisytiharkan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal dianggap terkorban.

MH370. MAS

Artikel Lain