GEORGE TOWN: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel terus bertindak 'mengunci mulut' apabila ditanya berhubung krisis MIC yang dilihat semakin berlarutan. Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, ketika ditemui pemberita pada majlis peletakan batu asas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramakrishna, di sini pada Jumaat enggan mengulas isu berkenaan sambil meminta wartawan memberi fokus pada majlis berkenaan. "Tidak, jangan cakap mengenai semua ini (krisis MIC) kerana hanya datang ke sekolah dan kuil. Semua tempat saya buat lawatan, saya sudah beri ucapan dan luluskan kenyataan semua. Isu MIC, politik semua (saya komen) lain hari. "Isu MIC, saya sudah bincang di Perak dan Selangor. Bila saya datang balik (Pulau Pinang) saya akan jemput lagi pemberita-pemberita semua," katanya. Pada Khamis, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata krisis parti itu boleh diselesaikan jika Palanivel bertindak atas nasihat pemimpin Barisan Nasional dengan mengikuti arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) secara konsisten. Krisis dalaman MIC tercetus selepas ROS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013. Dalam surat bertarikh 5 Dis 2014, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari. Palanivel, pada 14 Feb lepas, meminta ROS menarik balik semua surat kerana mendakwa ia bercanggah dengan perlembagaan parti dan akta pertubuhan serta mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang jika ROS tidak berbuat demikian. Sementara itu, Palanivel berkata Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM4.7 juta bagi membina dua blok bangunan baharu SJKT Ramakrishna itu yang akan dilengkapi dengan 24 bilik darjah, bilik Sains, bilik komputer dan beberapa kemudahan lain. Katanya, MIC turut menyumbang sebanyak RM100,000 kepada sekolah berkenaan dan menyeru orang ramai untuk sama-sama membantu meningkatkan infrastruktur sekolah itu.