PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau berhati-hati dalam optimis untuk mengesan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi pada 8 Mac tahun lepas. Sentimen beliau adalah berdasarkan data saintifik, statistik dan Inmarsat yang memberikan maklumat khusus menunjukkan tempat penerbangan itu berakhir. Dalam taklimat media di sini Jumaat bersempena genap setahun insiden kehilangan MH370, katanya tujuh cubaan komunikasi atau 'handshakes' adalah amat penting dalam misi mengesan pesawat itu. "Setiap cubaan komunikasi (antara sistem pesawat dan satelit) adalah data khusus untuk MH370. Tujuh cubaan komunikasi memberi maklumat jelas kepada kami tentang kedudukan lengkung yang panjang di selatan Lautan Hindi. "Kami membuat pengiraan ini berdasarkan kelajuan dan bekalan minyak MH370. Jika kelajuan adalah perlahan, maka pesawat berada di bahagian utara selatan Lautan Hindi dan jika kelajuannya laju, ia berakhir di bahagian selatan, kira-kira 30 hingga 40 darjah ke selatan lautan," katanya. Penerbangan MH370, membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac tahun lepas. Pesawat itu dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Sambil berjanji usaha yang dijalankan sekarang tidak akan berhenti bagi mengesan pesawat hilang itu, Tiong Lai berkata, pasukan pencarian yang terbaik dan kumpulan pakar terbesar terlibat untuk mengesan MH370. Katanya, pencarian di selatan Lautan Hindi telah meliputi kawasan seluas kira-kira 26,000 kilometer persegi atau 44 peratus daripada 60,000 kilometer persegi kawasan tumpuan. "Kami bernasib baik kerana cuaca agak baik dan kami menggerakkan empat buah kapal - Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan Fugro Supporter. "Kami meliputi satu peratus daripada kawasan pencarian dalam sehari, dan ini adalah satu pencapaian yang besar. Kami yakin untuk mencari pesawat di kawasan khusus ini," katanya. Tiong Lai berkata, bagaimanapun, lautan kadang-kadang amat bergelora dengan ombak setinggi 15 hingga 18 meter dan kedalaman laut antara 6,000-7,000 meter boleh menjejaskan operasi mencari. "Justeru, adalah penting kami meneruskan pencarian dan mudah-mudahan, kami boleh menamatkan pencarian menjelang Mei". Tiong Lai berkata, pencarian di dasar laut itu dijalankan dengan telus dan laporan akan dimuat naik dalam laman web setiap minggu, sambil menambah pasukan pencarian akan menganalisis gambar dengan teliti. "Daripada data dan gambar yang kami terima, adalah sangat jelas mereka telah mengenal pasti kira-kira 10 objek keras yang menyerupai kapal terbang tetapi kami perlu menganalisisnya. Setakat ini, tiada penunjuk atau berkaitan MH370," katanya sambil menambah bahawa objek itu mungkin daripada kontena atau bangkai bot. Ketika ditanya mengenai tindakan seterusnya jika MH370 tidak dapat dikesan di zon yang ditetapkan, Liow berkata pakar-pakar akan mula melakukan penilaian data dan angka untuk memberi panduan. "Kami menyerahkan kepada kumpulan pakar kerana mereka arif dari segi teknikal dan profesional dalam bidang ini. Jadi, kami memerlukan nasihat daripada mereka. Marilah kita tunggu keputusan. Saya tidak mahu membuat andaian awal sebelum keputusan," katanya. Tiong Lai berkata, operasi mencari MH370 setakat ini adalah yang terbesar dalam sejarah, membabitkan lebih 26 negara, dan 166 aset termasuk 81 pesawat dan 85 kapal. "Kami telah membelanjakan sejumlah besar wang. Australia membelanjakan hampir AUD60 juta untuk pencarian di laut dalam sementara Petronas setakat ini membelanjakan RM66 juta untuk sewa kontrak kapal Go Phoenix di selatan Lautan Hindi. Kosnya akan meningkat kerana misi pencarian diteruskan," katanya. Pasukan mencari terdiri daripada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AIB), Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia, dan Thales serta kumpulan Boeing. Pada 29 Januari, kerajaan Malaysia mengisytiharkan kehilangan Penerbangan MH370 sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan semua 239 penumpang dan anak kapal dianggap telah terkorban.