suria

IS: Mohd Faris Gemar Bersendirian - Saudara

Mohd Faris Anuar.

ALOR SETAR: Mohd Faris Anuar, salah seorang rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dalam rakaman video penyembelihan rakyat Syria oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) disifatkan sebagai seorang yang baik, pendiam dan tidak pernah meninggalkan solat.

Saudaranya yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Su, 40-an, berkata, Mohd Faris, 20, seorang yang gemar menyendiri.

"Dia bukan seorang yang tidak baik tetapi dia jarang bercampur dengan budak-budak lain," kata Pak Su, merupakan tukang kebun dan mendakwa dirinya mempunyai pertalian saudara dengan ibu Mohd Faris.

Katanya, beliau terkejut apabila mendapat tahu mengenai penglibatan Mohd Faris dalam IS.

Pak Su turut berkata, Mohd Faris berpakaian seperti orang lain dan tiada tanda-tanda dia ke arah pembabitan dalam militan.

"Dia selalu pakai pakai seluar jeans dan kasut sukan, dan menaiki motosikal untuk berjalan kelilingi kampung dan pergi ke masjid.

"Dia bukannya pakai jubah atau celak," katanya.

Pak Su berkata, keluarga Mohd Faris meninggalkan rumah mereka di Kampung Jelatang, Jalan Raya Gurun di Gurun sehari selepas berita mengenai Mohd Faris dilaporkan.

Rumah mereka didapati berkunci sewaktu dikunjungi The Star pada Jumaat.

Pak Su menyifatkan bapa Mohd Faris iaitu Anuar Salleh yang merupakan pesara polis sebagai seorang yang baik.

Pak Su berharap Mohd Faris akan kembali ke pangkal jalan, dengan ibu bapanya yang begitu risau sejak dia pergi menghilangkan diri tahun lepas.

"Dia masih muda, masa depannya masih cerah," katanya sambil menambah bahawa ibu bapa Mohd Faris sentiasa mendoakan anaknya itu sejak dia menghilangkan diri tahun lepas. 

Mohd Faris Anuar, IS

Artikel Lain