suria

SOAL JAWAB EKONOMI BAH.2: Hutang Isi Rumah, Perniagaan Instashop dan Ekonomi Negara

MINGGU lepas, saya telah menyentuh tentang harga minyak dan kesannya ke atas ekonomi negara, pendapatan kerajaan dan juga ekonomi Malaysia. Dalam Bahagian Kedua ini, marilah kita berbicara pula tentang hutang isi rumah dan apakah hutang rakyat Malaysia boleh menyebabkan krisis ekonomi sepertimana yang pernah berlaku di Amerika Syarikat pada 2008.

SOALAN (S): Hutang isi rumah Malaysia adalah 87% daripada jumlah Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) negara. Korea Selatan pada kadar 86%, Taiwan 82% dan Singapura 72%. Ini menjadikan hutang isi rumah Malaysia adalah yang tertinggi di Asia. Tidakkah ini merisaukan?

JAWAPAN (J): Ini soalan yang ‘tricky’. Malah bersifat relatif. Ia begitu kerana hutang isi rumah ini boleh jadi bagus untuk ekonomi, tetapi boleh jadi berbahaya pada masa yang sama.

Sebelum itu, kita perlu faham bahawa hutang isi rumah tidak sama dengan hutang negara. Hutang isi rumah adalah jumlah hutang yang dimiliki oleh rakyat Malaysia. Ini adalah hutang seperti hutang beli rumah, kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi.

Oleh itu hutang yang tinggi ini adalah bersifat pilihan.

Soalan yang perlu ditanya adalah ke mana hutang-hutang ini dibelanjakan. Adakah rakyat Malaysia menggunakan 43.5% daripada pendapatan bulanan mereka membayar hutang kepada sesuatu yang semakin susut nilainya?

Atau sebenarnya membeli aset yang berguna di masa hadapan?

Untuk pengetahuan, hampir 60% daripada 87% hutang itu digunakan untuk membeli rumah dan kereta. Selebihnya barulah hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan hutang pelaburan.

Walaupun harga kereta tidak banyak berubah, harga rumah di Malaysia meningkat sebanyak 137% sejak 10 tahun lepas. Ada kawasan yang lebih tinggi kadar kenaikkannya. Justeru, adalah logik untuk kadar hutang isi rumah bertambah.

Ia bukanlah semata-mata kerana rakyat Malaysia gemar berhutang, sebaliknya nilai hutang itu semakin tinggi. Jika sebelum ini pinjaman perumahan hanyalah sekitar RM250,000, tetapi hari ini mungkin sudah RM400,000.

Ini menjelaskan bagaimana aset isi rumah telah bertambah sebanyak empat kali ganda daripada jumlah hutang yang diambil. Untuk pengetahuan, kadar pemilikan aset adalah berada di tahap 322% daripada KDNK negara.

Apa maknanya di sini? Ia bermaksud untuk setiap RM1 yang dipinjam oleh rakyat Malaysia, mereka meminjam untuk memiliki aset yang bernilai RM4. Justeru, hutang yang tinggi ini adalah untuk aset, bukannya liabiliti.

S: Berbalik kepada hutang isi rumah, bagaimanakah hutang isi rumah yang tinggi adalah perkara yang baik kepada ekonomi?

J: Pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah berasaskan permintaan domestik.

Semakin tinggi perbelanjaan domestik, semakin tinggi pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sebab itu KDNK negara berkembang 6% pada tahun lepas.

Keupayaan rakyat Malaysia untuk berbelanja lebih adalah kerana ‘kemudahan’ mendapatkan kredit (baca hutang).

Ini adalah polisi monetari yang ditetapkan Bank Negara Malaysia supaya orang ramai berbelanja khususnya di dalam keadaan ekonomi yang teruk.

Di peringkat individu, perbelanjaan oleh rakyat Malaysia dalam membayar untuk produk dan servis di dalam Malaysia sentiasa meningkat. Pada tahun lepas, rakyat Malaysia berbelanja 9.9% lebih banyak daripada tahun sebelumnya.

Perbelanjaan ini datang daripada hutang seperti ansuran mudah, kad kredit dan pinjaman peribadi. Sememangnya hutang ini tidak bagus untuk individu tersebut. Tetapi bagi pengeluar produk dan penyedia perkhidmatan, hutang ini adalah bagus untuk mereka kerana ia bermakna lebih keuntungan.

Di peringkat sektor swasta pula, syarikat dan kilang lebih banyak berbelanja untuk pelaburan di dalam Malaysia. Dalam tempoh September 2014 hingga Disember 2014, perbelanjaan mereka bertambah daripada 6.8% kepada 11.2%. Dan sebagaimana individu, sektor swasta juga berbelanja dengan berhutang.

S: Tidakkah hutang-hutang ini akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan seperti krisis ekonomi?

J: Benar. Hutang yang tidak dapat dibayar akan menyebabkan risiko sistematik kepada sistem perbankan. Kegagalan pembeli rumah di Amerika untuk membayar hutang rumah mereka pada 2008 telah membawa dunia ke krisis kewangan.

Bagaimanapun, adakah keadaan yang sama boleh berlaku di Malaysia?

Anda mungkin terperanjat apabila mengetahui kadar hutang tidak berbayar (non-performing loan) di Malaysia adalah rendah.

Untuk individu, hanya 4.9% hutang adalah hutang NPL. Untuk syarikat, hanyalah 8.8%.

S: Jadi apakah kesimpulan daripada polemik hutang isi rumah ini?

J: Pertama, 60% hutang isi rumah digunakan untuk membeli aset. Ini adalah bagus untuk isi rumah tersebut.Kedua, kenaikan hutang isi rumah adalah kerana harga aset yang semakin mahal. Sebagai contoh, harga hartanah.

Ketiga, hutang isi rumah yang tinggi telah membantu merancakkan aktiviti ekonomi di Malaysia. Sebagai contoh, perniagaan instashop tidak akan rancak jika orang ramai tidak berbelanja. Dan mereka berbelanja dengan berhutang.

Keempat, sungguhpun mereka berhutang, hanya lima daripada 100 yang gagal membayar balik hutang tersebut. Ini bermaksud, di sebalik kenaikan kos sara hidup, rakyat Malaysia mempunyai keupayaan dan sekuriti pekerjaan untuk membayar hutang setiap bulan.

Tiada siapa yang gemar berhutang jika diberi pilihan. Tetapi di dalam dunia di mana ‘perbelanjaan anda adalah pendapatan saya dan perbelanjaan saya adalah pendapatan anda’, hutang adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.

Yang penting adalah - bayar hutang.

> MatRodi atau Radzi Tajuddin adalah seorang penulis bebas. Beliau juga adalah kolumnis tetap mStar Online.


KDNK, hutang, Malaysia, isi rumah

Artikel Lain