suria

Memori MH370: Jangan Dilupakan, Namun Terus Bersatu, Doa & Berharap

Seorang waris mangsa MH370, Kelly Wen (kiri) sedang membaca doa bagi memperingati ulang tahun kehilangan pesawat itu dalam satu majlis di Petaling Jaya, Jumaat lalu.

PETALING JAYA: Genap setahun kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 pada tanggal 8 Mac bukan bermakna insiden itu seharusnya dilupakan, sebaliknya ingatan dan doa buat mangsa terus diperkukuhkan selamanya.

Masyarakat dunia khususnya waris mangsa sudah tentunya terus mengharapkan keajaiban akan berlaku di mana suatu hari nanti misteri kehilangan MH370 akan terungkai.

Jangan lupakan MH370, demikian yang disuarakan berkali-kali oleh seorang kenalan kepada ketua juruterbang yang terbabit dalam insiden pesawat malang itu, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Kenalan Kapten Zaharie, Peter Chong yang mengadakan majlis memperingati ulang tahun pertama kehilangan pesawat MH370 di Petaling Jaya pada malam Jumaat berkata, beliau meminta supaya ingatan dan doa buat mangsa diteruskan sampai bila-bila.

Apatah lagi katanya, punca kehilangan pesawat berkenaan dan nasib kesemua 227 penumpang dan 12 anak kapal masih belum terjawab sehingga kini. 

“Saya mengadakan majilis ini kerana kita tidak sepatutnya melupakan MH370. Sama ada di Malaysia, China atau di mana sahaja, kita bersama-sama bersatu, berdoa dan berharap.

“Kita semua mesti jangan lupakan MH370. Kita mesti sentiasa mengingati MH370. Kita semua tidak akan berputus asa dan terus mencari kebenaran dan jawapan,” katanya yang mengenali Kapten Zaharie selama lebih dua tahun sebelum insiden berlaku pada Mac 2014.

Fatimah (dua, kiri) ketika mendeklamasikan sajak sempena MH370. 

Pesawat Boeing 777 MAS itu membawa 239 orang apabila hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Pada 29 Januari lalu, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan semua 239 orang yang menaiki pesawat dianggap terkorban.

Bagi menguatkan semangat terus tabah dan tidak berputus asa, Peter memetik kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika berhadapan dengan krisis MH370 tahun lalu: “Percayalah, kita tidak akan berputus asa.”

Beliau turut memetik kenyataan Sakinab Ahmah Shah yang merupakan kakak kepada Kapten Zaharie pada Khamis lalu: “MH370... 239 orang yang ‘hilang’ tidak lagi mempunyai suara tetapi biarlah kita semua menjadi suara untuk mereka.”

Seorang lagi kenalan Kapten Zaharie yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah berkata, kehilangan MH370 dilihat sebagai misteri untuk seluruh dunia dan keluarga mangsa melalui waktu yang amat sukar di atas kehilangan orang yang tersayang.

“Kita tidak patut melupakan MH370. Memang kerajaan sudah isytiharkan ia sebagai satu kemalangan dan kesemua mereka di dalam pesawat itu dianggap telah terkorban.

“Tetapi tanpa sebarang bukti, kita sukar untuk menerimanya. Kita perlu terus memperingati dan seandainya mereka pergi (meninggal dunia) pun, perginya mereka sebagai hero,” kata Fatimah.

Kelly Wen (kanan) ketika menyampaikan ucapan kepada hadirin. Turut serta Peter Chong.

Majlis memperingati ulang tahun kehilangan MH370 itu melibatkan beberapa acara seperti ucapan, persembahan nyanyian, mendeklamasikan sajak dan puisi, himpunan lilin yang mengiringi doa serta sesi tandatangan dengan menyatakan sokonan dan harapan di atas kain rentang.

Turut hadir, Jacquita Gonzales, isteri kepada penyelia pesawat MH370, Patrick Francis Gomez dan Kelly Wen, isteri kepada salah seorang penumpang warga China, Li.

Pada majlis itu, Fatimah turut mendeklamasikan sajak hasil nukilannya khas buat MH370:

Melewati setahun yang suram

Berlalu dengan kepedihan... di hati ini... juga di hati mereka

Penuh dengan kesedihan.. dalam diri ini... juga diri mereka

Persoalan demi persoalan bermain di fikiran ini... juga di fikiran mereka

Satu dunia bertanya soalan yang sama

Ke manakah hilangnya ia?

Hilangnya tanpa dapat dijejak

Hilangnya dengan penuh misteri

Hilangnya bersama jiwa yang tidak berdosa

Hilangnya bersama insan yang disayangi

Wahai angin... tiupkan berita gembira mu

Wahai lautan... timbulkan bukti mu

Wahai bumi... berikan petunjuk mu

Agar tiada lagi nada sumbang di dalam lagu

Agar tiada lagi spekulasi jelek di dalam berita

Agar terjawab segala persoalan kami

Agar terhenti penantian kami

Semoga siang kami lebih cerah

Malam kami lebih indah

Pelangi indah muncul kembali

Doa dan ingatan buat MH370...


MH370, Zaharie Ahmad Shah

Artikel Berikut

Benji Ditahan Lagi

Artikel Lain