suria

Palanivel Bersiap Sedia Hadapi Pemilihan Presiden Pada Mei

Palanivel ketika hadir pada majlis perjumpaan bersama ketua-ketua bahagian dan cawangan MIC Perak di Ipoh, Ahad.

IPOH: Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata, beliau sedang bersiap sedia menghadapi pemilihan presiden parti yang akan diadakan pada Mei depan.

Bagaimanapun, katanya, beliau juga menunggu keputusan semakan kehakiman esok bagi memutuskan tindakan selanjutnya.

"Ya, saya bersiap sedia untuk pemilihan itu. Semakan kehakiman itu adalah ke atas Pendaftar Pertubuhan (RoS). Ia bukan tindakan ke atas cawangan atau bahagian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Perhubungan MIC Negeri di sini, Ahad.

Palanivel dan tiga yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan arahan RoS supaya pemilihan semula beberapa jawatan utama parti diadakan.

Palanivel, bekas setiausaha agung MIC A. Pakas Rao dan dua naib presiden MIC Datuk S. Sothinanthan dan Datuk S. Balakrishnan memfailkan permohonan itu pada 24 Februari di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) melalui Tetuan Arbain  and  Co. Mahkamah Tinggi menetapkan 9 Mac untuk mendengar permohonan itu di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad.

Palanivel menjelaskan pemilihan parti pada 2013 disokong Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam dua mesyuarat pada 2014, namun pihak-pihak tertentu menimbulkan masalah pada Ogos kerana mendakwa tidak berpuas hati.

"Malah mesyuarat CWC yang berlangsung di ibu pejabat dianggap menyalahi undang-undang. Malah lebih teruk lagi RoS menghadiri mesyuarat itu dan ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Mengenai kempennya, Palanivel berharap beliau akan mendapat kemenangan besar dan berjanji untuk meneruskan usaha meningkatkan mutu pendidikan, peluang niaga, dan politik bagi masyarakat India.

Lebih daripada 500 ketua cawangan menghadiri perjumpaan tiga jam itu.

Krisis dalaman MIC bermula selepas pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 kerusi anggota CWC semasa Perhimpunan Agung parti pada November 2013 dan diisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal oleh RoS, berikutan dakwaan penyelewengan.

RoS juga mengarahkan pemilihan semula diadakan bagi jawatan-jawatan itu dalam tempoh 90 hari.

Pada 14 Februari, Palanivel meminta RoS menarik balik semua arahan terhadap MIC kerana mendakwa ia bertentangan dengan Akta Pertubuhan dan perlembagaan parti itu dan mengancam untuk mengheret RoS ke mahkamah.

Palanivel, MIC, RoS

Artikel Lain