GEORGE TOWN: Pemilihan semula parti MIC masih boleh diteruskan walaupun terdapat pihak memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) itu. Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, parti berkenaan boleh terus berbuat demikian melainkan jika mahkamah mengarahkan sebaliknya. Beliau berkata pemilihan semula parti itu perlu dilakukan segera bagi mengelak pendaftaran MIC dibatalkan, sekali gus merugikan masyarakat India di negara ini. "Saya sering menyatakan bahawa sebenarnya ini adalah cerita sedih dan melepaskan peluang yang ada. "Kita boleh menghentikannya dengan pelbagai cara sepanjang proses ini, malangnya dalam setiap peringkat, kurang tindakan sehingga menjadi teruk dan sekarang bertambah buruk apabila dibawa ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan cawangan-cawangan MIC Pulau Pinang, di sini, Ahad. Krisis dalaman MIC tercetus selepas RoS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013. Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari. Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, pada 14 Februari lepas, meminta RoS menarik balik semua surat kerana mendakwa ia bercanggah dengan perlembagaan parti dan akta pertubuhan serta mengancam mengambil tindakan undang-undang jika RoS tidak berbuat demikian. Mengulas lanjut, Dr Subramaniam menegaskan Palanivel bertanggungjawab untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi MIC ketika ini dan tidak sepatutnya membiarkan perkara itu berlarutan sehingga boleh menjejaskan parti itu. Ditanya siapa yang bertanggungjawab memimpin parti itu ketika ini, beliau berkata: "CWC...ini satu-satunya badan yang dinyatakan oleh RoS untuk berbuat demikian...malah, CWC juga boleh bertindak melantik jawatankuasa dan melaksanakan pemilihan semula parti".