suria

Memori MH370: Kami Rasai Kesedihan Anda, Tabahkan Hati – Waris MH17

PETALING JAYA: Tahun lalu negara dikejutkan dengan dua tragedi pilu membabitkan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dan nahas MH17 ditembak jatuh di Ukraine.

Kehilangan MH370 sejak 8 Mac 2014 terus menjadi misteri walaupun pada 29 Januari lalu, kerajaan Malaysia mengisytiharkan ia sebagai kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapalnya dianggap meninggal dunia.

Ahad lalu, genap setahun kehilangan MH370 dan peristiwa ini turut dirasai waris mangsa MH17 yang berkongsi kesedihan mereka kerana kehilangan insan tersayang.

Isteri kepada juruterbang MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin berkata, beliau turut merasai kesedihan dan keperitan yang dialami waris mangsa MH370.

“Memanglah orang luar tidak dapat rasa sebagaimana kami rasa. Hanya diri yang merasa tahu betapa peritnya tanpa orang tersayang apatah lagi perlu berhadapan dengan kehidupan ini saban hari,” kata Mariyam Yusoff yang pernah melalui keperitan di atas kejadian yang menimpa suaminya dalam nahas MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika penerbangannya dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun Mariyam berharap supaya waris MH370 dapat mengharungi rintangan hidup dengan membina kekuatan yang bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga buat insan lain.

“Kita kena kuat, kalau tak anak-anak atau ahli keluarga lain  sudah tentu turut sama bersedih.

“Sebaik-baiknya kita terus berdoa dan berharap bagi memperoleh kekuatan jiwa dan rohani. Semoga suatu hari nanti Allah akan berikan petunjuk di atas kehilangan ini,” kata Mariyam.

Mohammad Salleh Samsuddin, bapa kepada pramugari MH17, Allahyarham Nur Shazana Mohammad Salleh berkata, waris MH370 diharap dapat tabahkan hati dan tidak berputus asa di atas apa yang berlaku.

Beliau turut menasihatkan mereka supaya merapatkan diri dengan ahli keluarga lain kerana penting untuk sentiasa berada di kalangan orang-orang yang masih ada untuk disayangi.

“Bersatu bersama yang lain akan memberi kekuatan kepada kita. Selain itu, ingatilah insan yang “tidak ada di depan mata” itu dengan cara kerohanian dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka walau di mana jua mereka berada,” kata Mohammad Salleh.

Sementara itu, bapa seorang pramugara MH17 mengakui berasa sebak apatah lagi tangisan hadir tanpa diduga apabila mengenangkan ulang tahun kehilangan pesawat MH370.

Jijar Singh berkata, berita mengenai genap setahun insiden itu termasuk pelbagai teori dan spekulasi mengenai kehilangannya membuatkan beliau bersimpati dengan waris.

“Saya berharap ianya (spekulasi dan teori) tidak melemahkan semangat waris, tetapi mereka terus berdoa supaya suatu hari nanti Tuhan akan menunjukkan kebenaran,” kata bapa kepada pramugara mendiang Sanjid Singh yang merupakan antara anak kapal terbabit dalam nahas MH17.

Sementara itu, Noor Aini Mohd Noor, adik kepada seorang penumpang MH17, Allahyarham Noor Rahimah Mohd Noor berkata, mungkin mudah bagi orang lain untuk menasihati waris MH370 supaya menerimanya dengan reda tetapi tidak bagi mereka yang  berhadapan dengan situasi itu.

Beliau sendiri turut tertanya-tanya apakah nasib kesemua mereka yang berada di dalam pesawat MH370, meskipun pengisytiharan telah dibuat dengan anggapan bahawa semuanya terkorban.

“Mungkin ada yang kata senang cakap untuk nasihatkan mereka supaya terima dengan reda. Tetapi yang menerimanya bukan senang apabila kehilangan orang tersayang sekelip mata.

“Namun hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya. Kesedihan anda turut dirasai kami tetapi ingatlah bahawa setiap yang berlaku adalah ketentuan Yang Maha Esa. Marilah kita sama-sama berdoa dan terus berdoa,” kata Noor Aini.

Artikel Lain