PETALING JAYA: Seorang perunding Teknologi Maklumat (IT) dikelar dan dirompak ketika dia menyemak baki wang simpanan di sebuah ATM di Kota Damansara pada pukul 6.30, Ahad. Lelaki yang dilaporkan memakai topi keledar penuh itu berjalan di hadapan mangsa dan mengacukan pisau. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, perompak telah memaksa mangsa mengeluarkan wang tunai sejumlah RM1,000. "Selepas keluarkan duit, perompak tersebut cuba menarik kad ATM mangsa dan berlaku pergelutan. Kemudian dia telah melibas pisau beberapa kali terhadap mangsa sebelum melarikan diri," katanya. Tambahnya, suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lagi rakannya. Mangsa yang cedera cedera kemudian menerima jahitan di kepala dan tangan.