PUTRAJAYA: Islamic State atau kumpulan militan IS perlu
disebut sebagai kumpulan pengganas atau pelampau, bukan sebagai 'Islamic state',
kata Penasihat Khas Sosio budaya kepada kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.
Menurut beliau, istilah 'Islamic State' itu mempunyai makna tertentu dan
memberi gambaran buruk kepada negara Islam sebenar.
"Janganlah dengan begitu mudah menerima sahaja IS untuk merujuk kepada
Negara Islam. Ia (kumpulan militan IS) adalah kumpulan mungkar. Negara Islam
tidak akan melakukan kemungkaran.
Negara Islam adalah berlandaskan undang-undang
syariah," katanya.
Rais, yang juga penasihat kepada Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF)
berkata demikian dalam ucapan penutupnya pada Persidangan Antarabangsa 'Orde
Baharu Dunia : Resipi Untuk Peperangan Atau Keamanan! di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya di sini, Isnin.
Beliau berkata istilah 'Islamic State' diguna dengan meluas kerana Amerika
menggunakannya.
"Oleh kerana Amerika menggunakan perkataan itu, kita pun menggunakanya
juga," kata beliau.
Sementara itu, bercakap dalam sidang media selepas persidangan berkenaan
berakhir, presiden PGPF Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kumpulan militan IS
bukan sebuah negara Islam, tetapi pengganas.
"Kita diperkenalkan dengan perkataan IS daripada Amerika Syarikat dan kita
pun terima Islamic State kononnya. Ini bukan Islamic State, ini pengganas.
"Mereka ini mungkin dilatih dan dibekal senjata dan wang oleh orang yang
menuduh mereka ini ialah IS. Oleh itu, kita terpaksa fikir semula umpamanya
kenapa IS terdiri daripada orang Islam cuma bunuh orang Islam sahaja...," jelas
beliau. -BERNAMA