suria

Hutang Luar Negeri Kerajaan Persekutuan Kekal Rendah Pada RM16.8 Bilion - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Hutang luar negeri Kerajaan Persekutuan kekal rendah pada RM16.8 bilion atau 1.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kata Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Disember 2014 adalah sebanyak RM582.8 bilion (54.5 peratus) daripada KDNK, dan daripada jumlah itu, RM566.1 bilion (97.1 peratus) adalah hutang domestik manakala baki RM16.8 bilion (2.9 peratus) pinjaman luar pesisir.

"Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.

"Kerajaan terus komited dalam memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK," katanya dalam jawapan bertulis kepada William Leong Jee Keen (PKR-Selayang), yang diedarkan di lobi Dewan Rakyat di sini, Rabu.

William meminta Menteri Kewangan menyatakan alasan peningkatan hutang luar negeri berjumlah RM740 bilion pada suku ketiga 2014 berbanding RM43 bilion dari tahun 1990 hingga 2013 dan kesannya kepada kewangan kerajaan dan ekonomi.

Najib berkata bagi memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan kekal rendah dan terurus,langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan untuk mengurangkan paras defisit secara berperingkat.

Menurutnya, kedudukan ini seterusnya akan mengurangkan keperluan kerajaan untuk meminjam dan dapat menurunkan paras hutang.

"Kepatuhan yang tegas terhadap disiplin fiskal serta pengurusan hutang yang baik terus diberikan penekanan bagi memastikan kedudukan fiskal dan makroekonomi terus kukuh serta dapat menampan sebarang krisis", katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata hutang luar negeri Malaysia berada pada paras RM740.7 bilion pada suku ketiga 2014, lebih tinggi berbanding jumlah hutang luar negeri pada tahun 1990 iaitu RM41.5 bilion dan RM196 bilion pada akhir 2013.

Menurutnya, peningkatan jumlah hutang luar negeri yang ketara itu disebabkan oleh definisi baharu bagi hutang luar negeri yang diguna pakai mulai tahun 2014.

Najib berkata langkah penggunaan definisi baharu tersebut selaras dengan keperluan pelaporan hutang di peringkat antarabangsa.

Berikutan itu, hutang luar negeri terdiri pinjaman luar pesisir oleh Kerajaan Persekutuan, perusahaan awam dan sektor swasta serta pegangan sekuriti hutang, deposit dan kredit perdagangan dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin.

Najib berkata hutang luar negeri berdasarkan definisi baharu adalah lebih tinggi, mencerminkan paras pegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin yang tinggi mencakupi hampir dua per tiga daripada peningkatan hutang luar negeri.

"Ini disebabkan kedalaman, keterbukaan dan daya tarikan yang lebih meluas terhadap pasaran kewangan Malaysia.

"Pada masa sama, penggunaan definisi semula hutang luar negeri ini membolehkan kerajaan menilai pendedahan risiko kepada bukan pemastautin dengan lebih baik", katanya.

Pada akhir 2014, hutang luar negeri Malaysia berjumlah RM744.7 bilion atau 69.6 peratus daripada KDNK, katanya.

Artikel Lain