suria

MH370: “Till we meet again…soon mak”

PETALING JAYA: "Till we meet again…soon mak," demikian catatan terakhir Mohamad Sofuan Ibrahim setahun lalu sebelum berlepas ke Beijing.

Berbekal kata-kata itu jugalah, kepulangan Mohd Sofuan terus ditagih kedua ibu bapanya sungguhpun pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dinaikinya hilang tanpa khabar berita.

Siapa sangka sekeping gambar yang dimuat naik dengan catatan berupa doa dan harapan untuk bertemu lagi dengan ibu tersayang tidak kesampaian.

Tanggal 8 Mac 2014 umpama mimpi ngeri buat pasangan Ibrahim Abdul Razak, 77, dan isterinya Wan Tom Wan Chik, 74, apabila anak bongsu kesayangan mereka hilang daripada pandangan mata.

Bagi Ibrahim, tiada tangisan dan air mata meratapi kehilangan anak tersayang melainkan doa supaya Mohamad Sofuan kembali ke pangkuan keluarga.

"Sofuan tak pernah hilang dalam ingatan kami. Dia tak pi mana-mana pun. Sebab tu lah pakcik tak sedih, tak teriak (menangis) pun.

"Pakcik sentiasa doa supaya Sofuan balik satu hari nanti…pakcik dan makcik akan tunggu walau selama manapun," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Jelas Ibrahim, nalurinya sebagai seorang bapa kuat mengatakan bahawa Sofuan masih selamat.

"Bagi pakcik, Sofuan hanya hilang atau dibawa ke satu tempat untuk disimpan dan disorokkan. Nak kata kapal terbang dia naik tu jatuh…tidak sama sekali sebab tak ada bukti.

"Kami sekeluarga sentiasa berdoa supaya dia sihat dan selalu ingat Allah,” tambah Ibrahim yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Mohamad Sofuan merupakan salah seorang penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang setelah berlepas ke Beijing.

Beliau adalah seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang ditempatkan di pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Beijing untuk tempoh enam bulan.

Selain itu cerita Ibrahim lagi, walaupun selepas genap setahun anak lelaki tunggal daripada lima beradik itu tidak kembali, beliau sebagai bapa tidak mendapat sebarang ‘petunjuk’ yang mengatakan Mohamad Sofuan terkorban.

Katanya berpegang kepada hakikat itulah,  beliau dan isterinya masih percaya keajaiban bakal berlaku suatu hari nanti dan doa supaya Mohamad Sofuan kembali akan dimakbulkan.

"Pakcik tak rasa kehilangan dia, rasa macam dia sedang bertugas di Beijing. Sebab dia pi sana bukan nak melancong, dia pi atas urusan rasmi…nak bekerja. Cuma bezanya dia tak ada depan mata kami, tak boleh dengar suara dia.

"Sejak dia dilaporkan hilang, pakcik dan makcik tak pernah mimpi apa-apa pun. Kot (mungkin) nak kata dia pi buat selamanya pun tak jugak. Sebab tak ada bukti. Sebab tulah pakcik sekeluarga macam biasa saja. Doa kami tak pernah putus untuknya. InsyaAllah nanti kebenaran akan muncul,” katanya lagi.

Bagaimanapun pada 29 Januari lalu kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan pesawat misteri itu mengalami kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban.

Sungguhpun demikian usaha mencari bangkai pesawat malang itu terus dilakukan sehingga kini.

MH370, MAS

Artikel Lain