PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) bakal menerbitkan dokumentari khas sempena memperingati pemergian rakan-rakan seperjuangan mereka yang berada dalam pesawat malang MH370 yang hilang daripada radar sejam sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antaranbangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China pada 8 Mac 2014. Presidennya Ismail Nasaruddin berkata, dokumentari berdurasi 30 hingga 40 minit itu baru sahaja selesai dirakamkan dan akan disiarkan pada bulan hadapan. "Kami sedang berbincang dengan stesen televisyen yang berkenaan untuk mencari waktu siaran yang sesuai. "Intipati dokumentari itu mengisahkan memori terakhir rakan-rakan seperjuangan dengan anak-anak kapal yang berada dalam pesawat MH370, perkongsian daripada keluarga mangsa yang terlibat serta pengalaman anak-anak kapal selepas dua kejadian malang melibatkan pesawat MH370 dan MH17," katanya ketika dihubungi mStar Online. Ditanya apakah judul dokumentari tersebut, Ismail berkata buat masa ini beliau belum boleh berkongsi butiran terperinci mengenainya kerana beberapa perkara mengenai penerbitan dan hak siaran masih diperingkat perbincangan. Ismail Nasaruddin. "Buat masa ini biarlah tajuknya kita rahsiakan dahulu, bila kita sudah dapat tarikh siaran dan terdapat stesen televisyen yang bersetuju untuk menyiarkan dokumentari ini baharulah saya boleh berkongsi maklumat terperinci mengenainya," kata Ismail yang menganggap penerbitan dokumentari tersebut sebagai penghormatan atau tribute kepada anak-anak kapal MH370 secara khusus. Beliau mengakui ada anak kapal yang fobia serta trauma selepas kehilangan pesawat MH370 dan MH17 namun oleh kerana memikirkan itu adalah sumber rezeki mereka, sebahagian besarnya akur kepada tuntutan kerja biarpun nyawa menjadi galang gantinya. "Memang ramai anak kapal yang mengakui trauma dengan kejadian yang menimpa dua pesawat MAS namun setelah mereka melalui sesi kaunseling akhirnya mereka kembali pulih walaupun mengambil masa. "Mereka yang kehilangan teman rapat paling terasa, kerana kehilangan sahabat berkongsi kisah suka duka mereka. Namun hidup perlu diteruskan dan kami berharap pihak pengurusan MAS tidak lepas tangan dalam memberikan sokongan serta bantuan kepada ahli keluarga serta anak-anak kapal untuk tempoh jangka masa panjang," katanya lagi. Mengulas mengenai isu pampasan, Ismail berkata ada sebahagian waris anak kapal yang menerima pampasan yang diberikan oleh pengurusan MAS namun ia masih tidak mencukupi jika dibandingkan dengan insan yang tersayang terutamanya bagi keluarga yang kehilangan pencari nafkah utama. "Jumlah yang berikan tidak mencukupi terutamanya bagi mereka yang kehilangan pencari nafkah utama dalam keluarga. Ini agak membebankan, terutamanya untuk menyelesaikan pinjaman bank, kereta dan yuran persekolahan mereka yang mempunyai anak yang masih belajar. "Justeru, kami berharap pihak pengurusan perlu mengadakan perbincangan yang lebih efektif dengan pihak kesatuan dan ahli keluarga yang terlibat untuk membantu mengurangkan beban mereka untuk masa akan datang," katanya.