"Sehingga Disember 2014, kerajaan telah membelanjakan RM79,031,905.76 dalam operasi mencari penerbangan MH370," menurut satu jawapan bertulis daripada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai terhadap soalan yang dikemukakan oleh Datuk Zahidi Zainul Abidin (BN- Padang Besar) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
"Walau bagaimanapun, anggaran kos keseluruhan untuk misi carian tidak dapat ditentukan lagi kerana operasi mencari masih berjalan," jelas Tiong Lai.
Antara agensi yang terlibat dalam misi SAR adalah Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac tahun lepas ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal.
Pada 29 Januari, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengisytiharkan kehilangan pesawat sebagai kemalangan.
Pesawat itu dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi.