KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara lima minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis, selepas mengaku bersalah mencuri beg uncang milik seorang peniaga di sebuah masjid bulan lepas. Majistret Saifulakmal Said memerintahkan Ismail Mat Din, 38, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 10 Februari lepas. Ismail didakwa mencuri satu beg uncang yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad minyak Petron dan wang tunai berjumlah RM450 kesemuanya milik Rosli Salleh, 50, di Masjid Jamek, Sri Petaling, Brickfields di sini pada 9 malam, 9 Februari lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana tugas tertuduh sepatutnya menjaga kepentingan awam. Bagaimanapun, Ismail yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan itu.