TUMPAT: Dua pelajar perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki terbabas dan berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Palekbang, Tumpat pada Rabu malam. Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Zaharudin Rasip berkata dalam kejadian 9.15 malam itu, Wan Nur Zulaikha Mohamed Najib, 15, yang menunggang motosikal, dipercayai hilang kawalan menyebabkan ia memasuki lorong bertentangan. Sebuah kereta dari arah bertentangan cuba mengelak motosikal itu namun, gagal lalu melanggar Wan Nur Zulaikha dan rakannya yang membonceng Norhidayah Mohamad, 14, sebelum kereta itu terbabas ke dalam parit. "Kedua-dua mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta cedera ringan," katanya di sini. Wan Nur Zulaikha ialah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut manakala Norhidayah dari SMK (A) Morak di sini.